KOTA BHARU - Jabatan Imigresen (JIM) negeri Kelantan menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk Myanmar yang menunggang motosikal di kawasan Kok Lanas dan Ketereh pada Jumaat.
Pengarahnya, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, penahanan dilakukan dalam Tindakan Operasi Penguatkuasaan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Daerah Ketereh pada jam 8 pagi.
"Operasi dijalankan bagi mengesan dan menahan warga asing yang melakukan kesalahan menunggang motosikal atau memandu kenderaan.
"Dalam operasi ini, pasukan penguat kuasa menahan sembilan PATI iaitu dua lelaki dan dua perempuan warga Thailand serta lima lelaki warga Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau memberitahu, PATI berusia antara 22 hingga 48 tahun terbabit ditahan dan diperiksa.
Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Dalam operasi itu, pihak JPJ Kelantan juga mengeluarkan saman serta menyita 25 motosikal dan tiga kereta yang digunakan oleh warga asing atas pelbagai kesalahan.
"Operasi melibatkan 17 anggota Bahagian Penguatkuasaan JIM negeri Kelantan, 19 anggota JPJ dan 15 penguat kuasa dari Majlis Daerah Ketereh,” katanya.
Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” katanya.