JASIN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun patah pergelangan kaki kanan selepas terjatuh dari tingkat lima ke tingkat satu sebuah pangsapuri di Jasin Bestari di sini, pada petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, dalam kejadian jam 5.25 petang, mangsa yang baru berpindah bersama keluarganya di kediaman itu sedang bermain dengan abangnya berusia 11 tahun di bahagian balkoni rumah.
Menurutnya, terdapat saksi yang melihat, semasa mangsa sedang leka bermain di tembok balkoni yang rendah itu, mangsa telah terjatuh.
"Anggota Balai Polis Bemban bergegas ke lokasi selepas menerima laporan mengenai insiden itu dan soal jawab dengan ibu mangsa mendapati kejadian itu benar berlaku.
"Mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Jasin ditemani ibunya untuk rawatan susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohamad Rusli berkata, difahamkan keluarga mangsa belum sempat memasang jeriji besi termasuk di bahagian balkoni rumah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa sentiasa mengawal setiap pergerakan anak-anak agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
"Setakat ini siasatan yang dijalankan mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan menasihatkan ibu bapa mengambil langkah keselamatan dengan memasang jeriji besi pada tingkat dan balkoni selain menjauhkan perabot daripada kawasan berisiko," katanya lagi.