BALIK PULAU - Polis berjaya menahan seorang lelaki warga China yang disyaki mencuri kad kredit milik seorang penumpang wanita dalam sebuah pesawat komersial dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 54 tahun itu ditangkap oleh pihak keselamatan pesawat selepas mangsa, seorang pelancong wanita warga Australia berusia 44 tahun membuat aduan mengenai kejadian itu.
"Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Balik Pulau esok untuk disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.
"Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai ahli sindiket yang terlibat dalam beberapa kes kecurian dalam pesawat komersial di daerah ini pada November dan Disember tahun lalu.
"Pada tiga kejadian sebelum ini, tiga lelaki warga China berusia antara 51 hingga 61 tahun dari Hunan telah ditahan dan didakwa di mahkamah.
"Kami percaya semua kes ini saling berkait,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sazalee turut menasihatkan penumpang agar sentiasa berhati-hati dan memastikan barang berharga disimpan di tempat yang mudah diperhatikan.
"Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan persekitaran kekal selamat dan kondusif’,” katanya.