KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) bersama 10 individu termasuk lapan kru warga asing secara berasingan di sini pada Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, berdasarkan maklumat risikan, sebuah VNT ditahan di kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Sungai Janggut, pada jam 2.50 pagi.
"Bot terbabit dikesan leka melakukan aktiviti perikanan di bawah lapan batu nautika dari daratan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Abdul Muhaimin berkata, hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berusia 30 tahun dan kru seramai empat orang terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga Myanmar berusia 39 hingga 46 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, tiga awak-awak warga Myanmar itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kebenaran kerja di atas vesel tersebut," katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian berasingan, Maritim Negeri Selangor turut melakukan tangkapan ke atas sebuah VNT di kedudukan 15.9 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, kira-kira jam 1 tengah hari.
"Pada ketika itu, anggota bot peronda Maritim Malaysia melaksanakan Op Ehsan dan Op Tiris di perairan Selangor.
"Hasil pemeriksaan ke atas VNT terbabit mendapati, lesen vesel terbabit telah tamat tempoh dan pengusaha bot menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran," katanya.
Menurutnya, tekong dan awak-awak seramai lima orang warga Myanmar berusia 31 hingga 47 tahun turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua nelayan, dua bot dan hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.
Abdul Muhaimin berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63
"Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera," ujarnya.