KUANTAN - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengkritik keras kerajaan mengenai Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menganggap isu tersebut sebagai beban yang dicipta kerajaan sendiri.
Beliau berkata, perkara tersebut sepatutnya dapat diselesaikan sekiranya kerajaan segera menjelaskan kedudukan sebenar Titah Adendum itu tanpa membiarkan ia berlarutan sehingga mencetuskan kekeliruan.
"Perkara ini sangat lurus. Sama ada Titah Adendum itu wujud atau tidak, kerajaan perlu membuat kenyataan jelas.
"Jika tidak wujud, nyatakan tiada. Jika wujud, tindakan perlu diambil. Pokok pangkalnya, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mengeluarkan Titah Adendum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Sabtu.
Setakat ini, enam laporan polis telah dibuat oleh Ketua Bahagian Bersatu dan satu lagi oleh Ketua Armada di Pahang.
Laporan tersebut berhubung kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, yang didakwa mempertikaikan kewujudan Titah Adendum serta surat pengesahan dari Istana Pahang berkaitan perkara tersebut.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menambah, kelewatan kerajaan bertindak menyebabkan pihak peguam Najib terpaksa menghantar surat kepada enam pihak berkaitan, namun tiada satu pun mendapat respons.
"Akhirnya, kes ini dibawa ke mahkamah. Apa yang menyedihkan, kita semua tahu bahawa Sultan Pahang adalah seorang yang amat berhemah.
"Baginda memahami tanggungjawab dan mengarahkan Pengelola Bijaya Diraja untuk mengeluarkan surat pengesahan. Mengapa kita membiarkan perkara ini sehingga membebankan baginda?" katanya.
Menyentuh isu, kenyataan Shamsul Iskandar, Saifuddin berkata, kenyataan dibuat Shamsul Iskandar mempersoalkan kewujudan Titah Adendum juga dilihat sebagai tidak wajar.
Jelasnya, tindakan Shamsul Iskandar mempersoalkan Titah Adendum itu boleh menyebabkan penghinaan kepada baginda Sultan Pahang.
"Tindakan ini telah mencetuskan kebimbangan kerana ia menyentuh elemen 3R (raja, agama dan kaum) yang boleh menggugat keharmonian masyarakat Malaysia.
"Jadi, kami (Bersatu Pahang) hari ini tampil membuat laporan polis membabitkan kenyataan dibuat individu berkenaan," katanya yang berharap pihak polis dapat menyiasat perkara ini secara komprehensif.