LRT Laluan Mutiara ada 21 stesen, libat jajaran 29.5km - Anthony Loke

Iklan
Anwar (tengah) hadir bagi menyempurnakan perasmian pecah tanah projek pembinaan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Tapak Projek Bandar Sri Pinang pada Sabtu. Turut hadir Anthony (kanan) dan Kon Yeow (kiri). Foto Bernama

GEORGE TOWN - Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A), meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penjajaran bermula dari PSR-A merangkumi dua stesen terminus, iaitu di Penang Sentral dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Iklan
Iklan

"Kedua-dua laluan ini akan beroperasi secara selari menerusi penjadualan bergilir, memastikan perjalanan yang lebih lancar dengan masa perjalanan dioptimumkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.

Iklan

Anthony berkata, kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mengambil alih pelaksanaan projek berkenaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang setelah mendapat kelulusan Kabinet pada Mac tahun lepas.

Menurut beliau, projek ini telah dirancang dengan teliti untuk meningkatkan keterhubungan di seluruh Pulau Pinang, membolehkan akses yang lancar ke hab-hab ekonomi dan budaya yang utama.

Iklan

Selain menyokong inisiatif"Penang Silicon Design @5km+" dan penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) serta Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, LRT Laluan Mutiara turut bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan, terutamanya dalam industri elektronik dan elektrik (E&E) yang dilihat penting di negeri ini.

Di samping meningkatkan mobiliti penduduk Pulau Pinang, katanya Projek LRT Laluan Mutiara bakal menawarkan integrasi yang lancar dengan mod pengangkutan utama yang lain.

"Menerusi sambungan ke Penang Sentral, penumpang akan mendapat akses mudah ke perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di Butterworth,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan MRT Corp selaku pemaju akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk membangunkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di Tapak Pesta, menandakan satu era baharu pembaharuan bandar di kawasan Sungai Nibong.

Anthony berkata, pembangunan depoh yang dirancang di Tapak Pesta akan disepadukan dengan pembangunan perumahan dan kawasan perniagaan, termasuk rumah mampu milik dan berbagai kemudahan untuk menyokong akitiviti harian penduduk setempat.

"Projek LRT Laluan Mutiara bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan penduduk Pulau Pinang, tetapi juga meningkatkan kualiti kehidupan orang ramai, memperkasakan komuniti setempat serta mendorong pembangunan yang inklusif.

"Daripada peringkat pembinaan hinggalah peringkat operasi, Projek LRT Laluan Mutiara bakal menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, menyumbang kepada pemberdayaan ekonomi dan tenaga kerja Pulau Pinang yang terangkum,” katanya. - Bernama