GEORGE TOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) perlu menguruskan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dengan penuh cekap, telus dan bebas daripada muslihat serta ketirisan seperti yang berlaku pada era terdahulu.
Anwar berkata, kerajaan yakin terhadap keupayaan serta kemampuan MRT Corp yang mempunyai rekod bersih dan telus untuk mempercepatkan pembinaan projek mega tersebut.
"Saya berharap MRT Corp dapat mengekalkan rekod mereka yang telus, bersih, cekap dan diuruskan dengan baik tanpa sebarang muslihat atau ketirisan seperti yang kita saksikan pada era lalu yang penuh dengan karenah.
"Ini penting supaya projek LRT Laluan Mutiara dapat disiapkan dengan segera,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dan barisan pemimpin negeri.
Projek LRT Laluan Mutiara bernilai RM10.5 bilion telah diluluskan Kabinet dan dibiayai kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 akan dibangunkan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset.
Projek ini merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan supaya pembangunan infrastruktur di Pulau Pinang perlu dilaksanakan dengan mengambil kira aspek budaya dan identiti unik negeri ini.
"Pulau Pinang mempunyai identiti tersendiri yang perlu dipelihara. Penduduknya sentimental tetapi mahu kemajuan, pada masa yang sama ingin mengekalkan elemen tradisional yang mencerminkan warisan negeri ini.
"Sebarang pembangunan harus diselaraskan supaya kemodenan tidak mengorbankan nilai budaya dan seni unik Pulau Pinang,” katanya.
Mengenai pembangunan Tapak Pesta Sungai Nibong yang terlibat dalam projek LRT tersebut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai pandangan rakyat termasuk cadangan menyelamatkan sebahagian kawasan itu.
"Saya telah meminta Ketua Menteri untuk berbincang dan mempertimbangkan bagaimana penyesuaian boleh dibuat bagi menyelamatkan, jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya sebahagian daripada Tapak Pesta,” tambahnya.
Projek LRT Laluan Mutiara dijangka memberi impak besar kepada infrastruktur dan ekonomi negeri ini, selain meningkatkan kualiti hidup rakyat dan mencipta ribuan peluang pekerjaan.