Kenaikan gaji minimum bukan mimpi indah buat pekerja

Iklan
Kenaikan gaji sebanyak RM200 mampu mengurangkan tekanan kewangan pekerja, terutamanya untuk menampung perbelanjaan harian seperti sewa rumah, makanan, dan pengangkutan. Gambar hiasan

TIDAK lama lagi Malaysia bakal menyaksikan satu lagi perubahan besar dengan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1700 sebulan mulai 1 Februari 2025.

Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen, pada Oktober 2024.

Iklan
Iklan

Kenaikan gaji minimum berkenaan antara lain bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan jurang antara golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kerajaan berbuat demikian selepas mengambil kira faktor peningkatan kos sara hidup dan kenaikan kadar inflasi, terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Penang.

Iklan

Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan bersetuju untuk menangguh kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Berikutan itu, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. Misalnya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985 ringgit).

Iklan

Pelaksanaan gaji minimum berkenaan akan dilaksanakan mengikut Akta Gaji Minimum 2025 dan Perintah Gaji Minimum 2025 yang turut memperuntukan penalti tidak melebihi RM10,000 bagi kesalahan pertama kepada majikan yang gagal mematuhi peraturan baru berkenaan.

Bagi golongan pekerja, kenaikan gaji minimum ini sememangnya ditunggu-tunggu, mampu memberikan sinar harapan baru yang menjanjikan peningkatan duit poket dan kuasa beli RM200 sebulan untuk golongan yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, perkilangan, pembinaan dan peladangan.

Kenaikan gaji sebanyak RM200 juga mampu mengurangkan tekanan kewangan mereka, terutamanya untuk menampung perbelanjaan harian seperti sewa rumah, makanan, dan pengangkutan.

Peningkatan pendapatan bulanan juga boleh menjadi insentif untuk meningkatkan motivasi dan produktiviti dalam kalangan pekerja, kerana mereka merasa lebih dihargai oleh majikan.

Pada masa sama, pekerja juga perlu bijak merancang kewangan dan mengelak daripada menambah hutang tidak perlu seperti membeli telefon bimbit atau pakaian mewah seperti kata pepatah kita mesti ukur baju di badan sendiri.

Jika mereka silap membuat pilihan maka kenaikan gaji diterima mereka tidak akan membantu meningkatkan taraf hidup keluarga tetapi akan menambah masalah baru.

Tindakan itu perlu susulan pendedahan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bahawa seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, AKPK juga mendapati 28 peratus rakyat Malaysia yang bekerja meminjam wang untuk membeli barangan keperluan.

Katanya, peningkatan kebolehcapaian pinjaman peribadi, kad kredit, dan terutamanya skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' amat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan golongan dewasa muda.

Pada masa sama, pekerja dan rakyat secara keseluruhannya juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku kenaikan harga barang keperluan harian berikutan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan peningkatan gaji penjawat awam mulai Disember lalu.

Dari segi majikan pula tidak semua menyambut cadangan kerajaan menaikan kadar gaji minimum dengan hati terbuka dan positif terutama bagi syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai pendapatan tahunan sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Kenaikan gaji minimum berkenaan memberi impak besar kepada operasi PKS kerana mereka terpaksa membayar upah RM200 lebih tinggi berbanding tahun sekali gus menjejaskan syarikat, pada tahun 2025.

Malah, tidak mustahil jika ada dalam kalangan majikan memilih untuk melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Bersama (MSS) atau tidak menyambung kontrak pekerja terpilih sebagai langkah penjimatan susulan penguatkuasaan gaji minimum sepenuhnya mulai Ogos depan.

Kenaikan kadar gaji minimun itu juga mungkin menyebabkan pelabur asing akan beralih ke negara lain yang mempunyai kadar upah buruh lebih murah seperti Vietnam, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Dari perspektif ekonomi, kenaikan gaji minimum ini boleh memberi kesan positif terhadap permintaan domestik. Apabila pekerja memiliki pendapatan yang lebih tinggi, mereka lebih cenderung untuk berbelanja, yang akhirnya dapat merangsang ekonomi negara.

Sektor-sektor seperti runcit, makanan, dan perkhidmatan dijangka akan menerima manfaat daripada peningkatan permintaan ini.

Namun, beberapa penganalisis ekonomi mengingatkan bahawa kenaikan gaji ini perlu disertai dengan peningkatan produktiviti pekerja. Jika tidak, terdapat risiko peningkatan inflasi atau kos operasi yang lebih tinggi yang mungkin memberi kesan buruk kepada ekonomi dalam jangka panjang.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan bahawa dasar lain seperti program peningkatan kemahiran dan inovasi dapat mendukung kenaikan gaji ini.

Kesimpulannya, biarpun kenaikan gaji minimum ini memberi peluang kepada pekerja meningkatkan taraf hidup namun, ia tetap mempunyai pelbagai implikasi negatif

Justeru, kerajaan perlu memantau dengan teliti kesan daripada perubahan ini, terutamanya dalam kalangan sektor-sektor tertentu. Pada masa sama kerajaan juga perlu memastikan adanya sokongan kepada sektor PKS agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan peraturan baru ini tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka.

Bagi pekerja juga mereka perlu menyedari bahawa kenaikan gaji ini bukanlah penyelesaian tunggal kepada masalah kos sara hidup. Pendidikan kewangan, peningkatan kemahiran, dan perancangan kewangan yang bijak perlu diberi penekanan agar golongan pekerja dapat memanfaatkan sepenuhnya kenaikan gaji tersebut.