PRESTASI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir tahun 2024 sedikit tercalar ekoran beberapa tindakan yang dibuat oleh Menteri Kabinetnya.
Rating kelulusan PMX yang mencapai 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbirannya, berbanding 50 peratus tahun lepas tercemar dengan pelbagai insiden yang menjejaskan keyakinan rakyat terutama masyarakat Islam.
Keputusan saman oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang ditolak samannya terhadap Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara (IGP), oleh mahkamah serta tindakan Menteri Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ngar Kor Ming yang menganjurkan sambutan Krismas baru-baru ini begitu meresahkan rakyat Malaysia terutamanya muslim.
Ini belum lagi tindakan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing yang bertindak keterlaluan membela pelancong asing tanpa mengikut panduan daripada Kebinet.
Malah, pendokong kerajaan dari dalam kalangan ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tanpa segan silu cuba campur tangan dalam urusan hal-ehwal Islam menyebabkan rakyat Malaysia sangsi dengan keupayaan PMX.
Keputusan Hannah ujian buat PMX
Keputusan kes Hannah Yeoh menarik perhatian rakyat Malaysia apabila beliau memfailkan saman terhadap bekas IGP yang disifatkan membuat kenyataan berunsur fitnah dalam sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu.
Bekas IGP dalam dakwaannya yang dirujuk daripada buku yang bertajuk"Becoming Hannah: A Personal Journey” mengaitkan Hannah dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian serta merosakkan Islam dan negara.
Penolakan oleh mahkamah atas alasan kenyataan bekas IGP tidak memenuhi elemen fitnah seolah-olah memberi persepsi bahawa apa yang diperkatakan itu adalah benar.
Perlembagaan Malaysia khususnya Perkara 3(1) telah menetapkan Islam adalah agama Persekutuan manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.
Manakala, Perkara 11(4) turut menegaskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam.
Namun, anggota pentadbiran YAB PMX seperti Hannah dan Kor Ming seolah-olah selesa untuk mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang bersifat provokatif terhadap hidup harmoni dan bertoleransi dalam amalan agama yang dijunjung sejak sekian lama di Malaysia.
Tidak cukup dengan kenyataan Hannah, tindakan Kor Ming yang mengadakan sambutan di bangunan kementerian di bawah pimpinan beliau, meresahkan orang Islam di Malaysia.
Tindakan yang belum pernah dibuat oleh mana-mana menteri walaupun KPKT diterajui oleh Menteri bukan beragama Islam sebelum ini menampakkan seolah ia adalah langkah provokasi dan tidak peka Menteri terhadap umat islam.
Gambar-gambar berlegar menunjukkan bahawa terdapat individu yang berpakaian muslim turut berada semasa persembahan Christmas Carolling.
Penganjuran acara seperti ini menyebabkan ketidakselesaan rakyat Malaysia yang memahami penghayatan agama masing-masing.
Sememangnya umat Islam sedar bahawa meraikan perayaan bukan Islam ini ada had dan batasnya seperti mana yang terdapat dalam fatwa yang mengharamkan penyertaan Christmas Carolling.
Hal ini kerana lirik lagu-lagunya yang mengandungi unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak, seperti mana Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-818 dan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Seharusnya anggota pentadbiran harus sensitif dengan janji dan sumpah setia mereka semasa mereka mengangkat sumpah ketika dilantik sebagai anggota Kabinet dan juga selepas dipilih sebagai wakil rakyat.
Peluang PMX tambah keyakinan rakyat
Seharusnya, sebagai Perdana Menteri yang memimpin majoriti rakyat beragama Islam, PMX harus menasihatkan kedua-dua menteri tersebut memohon maaf dan juga meletakkan jawatan daripada anggota pentadbiran.
Jika gagal, PMX harus membuktikan bahawa beliau tidak takut untuk melakukan sesuatu yang memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia beragama Islam, dengan memecat kedua-dua menteri.
Keputusan mahkamah secara tidak langsung sebenarnya menggambarkan bahawa pengakuan Hannah dalam bukunya sendiri bahawa objektifnya adalah untuk mengembangkan agama Kristian adalah benar.
Melalui jawatannya sebagai menteri, sudah pastinya rakyat Malaysia beragama Islam bimbang ia akan memudahkan niat asalnya dengan bersembunyi di sebalik jawatan menteri.
Bagi meredakan kerisauan dan melonjakkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan hari ini, Hannah dan Kor Ming sepatutnya bekorban demi masa depan kerajaan Madani.
Hannah perlu mengambil pengajaran daripada beberapa kes menteri di Malaysia yang meletakkan jawatan demi menjaga integriti.
Hannah perlu merujuk kes saman fitnah oleh Menteri Kesihatan sekitar tahun 1963, Abdul Rahman Talib, ke atas seorang Ahli Parlimen pembangkang, Seenivasagam.
PMX pula harus menambah keyakinan rakyat bahawa beliau tidak dikawal oleh DAP dalam hal ehwal pentadbirannya.
Beliau sewajarnya memecat Hannah demi menjaga integriti Kabinetnya yang menjunjung tinggi perlembagaan.
Sudah pasti keyakinan rakyat yang memberi markah 54 peratus seperti yang dinyatakan oleh penyelidik Merdeka Research Centre akan turun jika tiada tindakan tegas diambil.
Pastinya rakyat akan terus percaya bahawa PMX sentiasa dibayangi DAP dalam membuat sesuatu keputusan.
Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama rakyatnya tidak memerlukan pemimpin dan organisasi yang sentiasa membuat provokasi dan menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan, terutamanya terhadap umat Islam, perlu dielakkan.
PMX perlu mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada anggota Kabinetnya pada kemudian hari.
Pastinya tindakan PMX hari ini akan menggambarkan keadaan PMX pada tahun-tahun mendatang.
Rakyat Malaysia mahukan PMX yang tegas dan tidak rela melihat PMX dilabelkan sebagai Perdana Menteri yang boleh dicatur.
Dr. Mukhtaruddin Musa ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari (YSL).