NEW DELHI - Dunia politik India kehilangan seorang tokoh besar dengan pemergian Dr Manmohan Singh, bekas Perdana Menteri India yang meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat masalah kesihatan pada 26 Disember lalu.
Susulan pemergiannya, India mengumumkan tempoh berkabung seluruh negara selama tujuh hari sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mendiang.
"Sebagai tanda penghormatan kepada orang kenamaan yang meninggal dunia, diputuskan perkabungan negara selama tujuh hari akan diadakan di seluruh India,” kata kerajaan India dalam satu kenyataan. Perkabungan akan berlangsung sehingga 1 Januari ini.
Mendiang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak perempuan
TOKOH SEDERHANA, RENDAH HATI
Manmohan dilahirkan pada 1932 di perkampungan berlumpur Gah di kawasan yang kini dikenali sebagai Pakistan.
Pemimpin itu meneruskan pendidikan dalam bidang ekonomi untuk mencari jalan bagi membasmi kemiskinan di India dan tidak pernah memegang jawatan terpilih sebelum memegang jawatan tertinggi negara itu.
Beliau memenangi biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Cambridge, di mana beliau memperoleh ijazah pertama dalam bidang ekonomi dan berjaya menamatkan pendidikan doktor falsafah (PhD) di Universiti Oxford.
Perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri India dari 2004 hingga 2014 dipuji kerana membuka ekonomi India yang dikawal oleh kerajaan pada 1991 ketika memegang jawatan Menteri Kewangan semasa krisis pertukaran asing.
Malah, beliau turut mendapat pengiktirafan dari ‘negara bukan sekutu’ iaitu Pakistan yang menyifatkan sosok itu sebagai sederhana dan suka mempromosikan keamanan.
"Di sebalik pencapaian luar biasa beliau dalam bidang ekonomi, Manmohan menunjukkan komitmen untuk mempromosikan keamanan serantau.
"Pendekatannya terhadap isu serantau mencerminkan kepercayaannya bahawa persefahaman bersama, dialog dan kerjasama adalah penting untuk kemajuan kolektif,” kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar pada Jumaat lalu.
Mendiang yang mengetuai kerajaan gabungan pimpinan Parti Kongres, bertemu pemimpin Pakistan beberapa kali semasa menjadi Perdana Menteri.
PERKENAL SKIM KEBAJIKAN
Mengharungi tempoh pertumbuhan ekonomi yang luar biasa, kerajaan Manmohan berkongsi hasil kekayaan baharu India, antaranya memperkenalkan skim kebajikan seperti program pekerjaan untuk golongan miskin luar bandar.
Pada 2008, kerajaan pimpinannya juga mencapai perjanjian bersejarah yang membenarkan perdagangan tenaga nuklear secara aman dengan Amerika Syarikat buat kali pertama dalam tiga dekad, membuka jalan untuk hubungan kukuh antara New Delhi dan Washington.
Dikenali kerana gaya hidup sederhana dan reputasi jujur, Manmohan secara peribadi tidak dilihat sebagai korup. Beliau merupakan Perdana Menteri Sikh pertama dalam sejarah India dan memegang jawatan tersebut untuk dua penggal, sesuatu yang jarang berlaku di negara itu.
Mendiang akan dikenang kerana sikap mesra, merendah diri dan inteleknya selepas pemergiannya.
LELAKI BERTURBAN BIRU
Manmohan sentiasa memakai turban biru selama bertahun-tahun.
Pilihan warna itu mencetuskan rasa ingin tahu tetapi misteri itu telah dirungkai olehnya sendiri dalam ucapannya apabila beliau mendedahkan bahawa turban biru muda itu adalah ingatannya terhadap Universiti Cambridge.
Semasa majlis pada 2006 di mana beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang, mendiang berkongsi hubungan dengan warna tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa biru muda adalah salah satu warna kegemarannya dan berfungsi sebagai peringatan berterusan terhadap kenangannya di universiti Cambridge.
"Ia mengingatkan saya pada hari-hari saya di Cambridge,” katanya. - Agensi