Syarikat bas ekspres wajib sedia pemandu kedua, patuhi undang-undang

Iklan
Hasbi beramah mesra bersama penumpang bas ekspres yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Krismas pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Musim Perayaan Krismas 2024 di Terminal Bas Kuching Sentral pada Jumaat. Foto Bernama

KUCHING - Syarikat bas ekspres diingatkan untuk menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh, khususnya sepanjang musim perayaan ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau turut mengingatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memasang ‘mata-mata’ bagi memastikan pemandu bas berwaspada setiap masa dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan risiko kemalangan.

Iklan
Iklan

"Jadi, jangan mereka ambil ringan dalam isu ini, kita ada ‘spy’ untuk pastikan pemandu tak main telefon bimbit dan melakukan kesalahan yang lain sewaktu mengendalikan bas.

"Sekiranya didapati mereka melanggar peraturan, bas akan diberhentikan dan sudah pastinya diambil tindakan... Bukan hanya kepada bas dan juga syarikat juga mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Iklan

Hasbi berkata demikian kepada pemberita selepas program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Krismas 2024 peringkat negeri di Kuching Sentral malam ini.

Dalam pada itu, kempen advokasi yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan keselamatan di jalan raya melibatkan pemeriksaan di tiga lokasi terminal bas di Sarawak iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

Iklan

Sarawak mencatatkan peningkatan 466 kes kemalangan atau 2.4 peratus iaitu 19,964 kes hingga November berbanding 19,498 kes pada tahun lepas.

Bagi tempoh sama, negeri ini merekodkan 326 kes kemalangan maut berbanding 336 pada 2023, menjadikan penurunan sebanyak 10 peratus. - Bernama