Sindiket phone scam paksa mangsa 'lapor diri' setiap hari

Iklan
Sindiket 'phone scam' semakin agresif apabila memaksa mangsa melaporkan diri setiap hari kepada ahli sindiket. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Sindiket 'phone scam' semakin agresif apabila mangsanya bukan sahaja mengalami kerugian besar, malah turut ditekan secara psikologi termasuk diarahkan melaporkan diri setiap hari kepada ahli sindiket.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seorang pesara kerajaan berusia 61 tahun mengalami kerugian sebanyak RM804,903 akibat terperdaya dengan taktik licik sindiket tersebut.

Iklan
Iklan

"Mangsa mendakwa kejadian bermula pada 15 November lalu apabila mangsa menerima panggilan menuduhnya terbabit dalam pengubahan wang haram dan memiliki waran tangkap.

"Mangsa turut dihubungi seorang individu dari Bank Negara Malaysia, yang mengarahkannya melaporkan diri setiap hari dan menyerahkan kad bank berserta nombor pin atas alasan siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Selasa.

Iklan

Ramli berkata, mangsa yang tertekan serta akur menyerahkan kad bank, mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji dan memindahkan wang ke akaun yang diarahkan sindiket tersebut.

"Mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas membaca hantaran mengenai taktik sindiket phone scam di Facebook, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, taktik agresif sindiket kali ini lebih membimbangkan kerana mereka memaksa mangsa melaporkan diri setiap hari sekali gus memberi tekanan mental yang serius.

"Lebih membahayakan, lokasi kediaman mangsa turut didedahkan, berpotensi mengundang jenayah lain seperti rompakan atau penculikan," katanya.