SHAH ALAM - Sejumlah 153,534 alunan zikir berjaya dicapai oleh para peserta dalam tempoh 20 minit menerusi program Zikir Walk anjuran SIRIM Berhad di sini pada Selasa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, program yang julung kali diadakan itu merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakkan peserta menjalani hidup sihat sambil beribadah.
Menurutnya, program anjuran bersama Kumpulan Integriti SIRIM, Persatuan Kakitangan Islam SIRIM (PERKIS), Persatuan Kakitangan SIRIM (PEKASA) dan Rasuah Busters itu menyasarkan seluruh warga kerja tanpa mengira latar belakang termasuk individu bukan Islam agar dapat menanam nilai integriti dalam diri.
"Pagi tadi pun keluarga SIRIM Berhad yang bukan Muslim juga turun bersama-sama dalam Zikir Walk dan mereka mengingati tuhan mereka dengan cara mereka sendiri kerana integriti ini dipupuk dan bermula dari hati.
"Nilai integriti tidak boleh sama sekali dikompromikan kerana SIRIM Berhad agensi yang menjaga tadbir urus, data kelola dan pengesahan keselamatan. Kami mahu pastikan sebelum mereka buat sesuatu, mereka ingat bahawa ALLAH SWT melihat hambanya setiap masa.
Tambah Ahmad Sabirin, program berkenaan sebagai platform merapatkan ukhuwah dan warga kerja juga dapat saling mengenali antara satu sama lain tanpa mengira pangkat atau bahagian dalam organisasi tersebut.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas yang sangat baik daripada semua peserta termasuk bukan Islam dan secara tidak langsung ia mengeratkan silaturahim bersama warga kerja.
"Peserta berjalan melalui bangunan Kompleks SIRIM Berhad sambil mengira bilangan zikir melalui tasbih digital yang diberikan secara percuma. Kepada peserta yang terbanyak bilangan zikirnya, akan diberikan hadiah Istimewa.
"Program ini bukan untuk anggota kerja sahaja tetapi melibatkan alumni SIRIM Berhad, kakitangan sokongan, barisan pengurusan dan presiden. Jadi, pengurusan boleh menyampaikan nasihat kepada warga kerja dan begitu juga sebaliknya.
"Kadang-kadang kita sendiri mudah lupa. Jadi, ini menjadi cara untuk kita ingat bersama dan lakukan secara berjemaah agar setiap perkara yang baik boleh menjadi amalan untuk semua warga kerja SIRIM Berhad,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Sabirin berkata, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti lain sebagai penerapan nilai murni warga kerja seperti membaca al-Waqiah pada setiap pagi Isnin, al-Kahf pada Khamis dan mengadakan majlis tahlil setiap minggu.
"Semua ini dilakukan kerana kami mahu integriti ini bukan sahaja sesuatu yang sekadar menjadi ucapan dalam percakapan tetapi dibudayakan dengan perbuatan,” katanya lagi.