KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM27.6 juta daripada 21 syarikat.
Penyerahan zakat itu disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Amrin Awaluddin disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata, kutipan zakat PPZ-MAIWP bagi tempoh Januari hingga November 2024 mencatatkan jumlah RM818 juta, meningkat sebanyak 8.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, kutipan zakat perniagaan PPZ-MAIWP turut meningkat 2.6 peratus dalam tempoh Januari hingga November 2024 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM123.8 juta.
"Ini memberi isyarat kesedaran menunaikan zakat semakin meningkat selain kepercayaan pihak syarikat kepada PPZ-MAIWP untuk pengurusan wang zakat dan bantuan kepada asnaf.
"Menghampiri penghujung tahun ini, saya yakin dan percaya angka ini akan terus meningkat dan turut mendoakan PPZ-MAIWP mampu mencapai sasaran RM1.15 bilion," katanya pada Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Mufi Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Antara syarikat yang menunaikan zakat perniagaan ialah Telekom Malaysia Berhad sebanyak RM5.4 juta, MBSB Bank Berhad (RM5 juta), Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (RM3.4 juta) dan Rakyat Management Services Sdn Bhd (RM2.3 juta).
Pada majlis sama Mohd Na’im turut menyeru orang ramai dan syarikat korporat agar menyegerakan kewajipan berzakat di PPZ-MAIWP agar MAIWP dapat membantu golongan memerlukan termasuk sumbangan lebih ramai mangsa banjir di seluruh negara.
"Kita semua maklum akan keadaan saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir.
"Baru-baru ini MAIWP telah memperuntukkan RM12 juta untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.
"Bantuan yang disalurkan ini adalah sebahagian daripada dana zakat yang telah ditunaikan oleh pembayar zakat," katanya.