PUTRAJAYA - Malaysia telah mencapai 81 peratus ketersediaan indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada 2023, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 248 indikator SDG global, indikator Malaysia SDG pada 2023 mencapai 196 indikator Tersedia, 28 indikator Sebahagian Tersedia dan Perlu Dibangunkan, 17 indikator Tidak Tersedia dan tujuh indikator Tidak Relevan.
"Justeru, berdasarkan 241 indikator SDG yang relevan kepada Malaysia, negara ini telah mencapai 81 peratus ketersediaan indikator SDG pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari aspek bidang tumpuan Kemajuan Masyarakat, indikator di bawah Matlamat 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan iaitu nisbah mortaliti ibu bersalin (MMR), beliau berkata MMR bertambah baik pada 2023 iaitu 25.7 berbanding 26.0 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun sebelumnya.
"MMR terendah pada 2023 direkodkan di Terengganu (11.5 setiap 100,000 kelahiran hidup) dan tiada kes MMR direkodkan di Perlis dan Labuan,” katanya.
Dalam bidang tumpuan Kemakmuran, indikator di bawah Matlamat 8: Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi menunjukkan kadar pengangguran bertambah baik kepada 3.4 peratus pada 2023 berbanding 3.9 peratus pada 2022.
Kadar pengangguran dijangka terus berkurang selari dengan perkembangan ekonomi semasa di negara ini.
"Merujuk kepada kadar pengangguran mengikut negeri pada 2023, 11 negeri merekodkan kadar pengangguran di bawah paras nasional dengan tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu Putrajaya (0.8 peratus), Melaka (1.6 peratus) dan Pahang (2.0 peratus),” katanya.
Dari segi Kerjasama, indikator Matlamat 17: Kerjasama demi Matlamat menunjukkan peratusan individu menggunakan Internet di Malaysia meningkat secara marginal kepada 97.7 peratus pada 2023 berbanding 97.4 peratus pada 2022.
Tujuh negeri mencatatkan peratusan individu menggunakan Internet lebih tinggi berbanding tahap nasional iaitu Putrajaya (99.9 peratus), Kuala Lumpur (99.9 peratus), Pulau Pinang (99.0 peratus), Selangor (98.8 peratus), Johor (98.6 peratus), Negeri Sembilan (98.4 peratus) dan Melaka (98.0 peratus).
Mohd Uzir berkata selari dengan usaha meningkatkan ketersediaan indikator pengukuran kemampanan, kementerian dan agensi terus berperanan dalam pengukuran pencapaian indikator dengan menyumbang sebanyak 77 peratus daripada keseluruhan indikator SDG 2023.
Kerjasama dengan kementerian dan agensi serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan terus diperkukuh dalam mengurangkan jurang ketersediaan data sekali gus meningkatkan ketersediaan data granular terutama bagi empat matlamat dengan ketersediaan indikator kurang 70 peratus. - Bernama