BESUT - Seorang pekebun cemas apabila terserempak dengan seekor beruang matahari sedang melintas jalan ketika dalam perjalanan menuju ke ladang kelapa sawit dekat Kampung Kubang Ikan di sini, pada Rabu.
Muhammad Amimutmi Safie, 26, berkata, insiden itu berlaku sekitar jam 9 pagi ketika dia menunggang motosikal melalui kawasan sawah padi.
"Waktu lalu di kawasan itu, saya terkejut sebab nampak seekor beruang sedang melintas jalan.
"Saya terpaksa memberhentikan motosikal saya pada jarak kira-kira 100 meter bagi mengelak disedari oleh haiwan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kubang Ikan di sini, pada Khamis.
Menurut Muhammad Amimutmi, dia sempat merakam kelibat haiwan itu dan berkongsi ke dalam grup aplikasi pesanan mudah alih WhatsApp penduduk kampung supaya mereka yang lain berwaspada dengan kehadiran haiwan berkenaan.
"Sebelum ini sudah ada yang ternampak beruang itu berlegar-legar di kawasan Kampung Gong Badang sebelum dijumpai di Kampung Kubang Ikan.
"Jadi saya hanya berkongsi video penemuan itu agar kampung penduduk kampung lebih berhati-hati sekiranya terserempak dengan haiwan tersebut," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang jantan seberat kira-kira 120 kilogram itu, berjaya ditangkap melalui tembakan pelali kira-kira jam 2 petang pada Rabu.
Katanya, pihak Perhilitan menerima laporan berhubung kehadiran beruang itu di Kampung Gong Badang, di sini kira-kira jam 8.30 pagi.
"Sepasukan anggota digerakkan ke lokasi berkenaan (Kampung Gong Badang) dan telah mengesan haiwan tersebut berkeliaran sehingga ke Kampung Kubang Ikan.
"Beruang jantan itu yang merupakan tangkapan ke 20 pada tahun ini telah dipindahkan ke habitat asal bagi memastikan kemandirian spesies haiwan tersebut," ujarnya.