Angkara khianat, tiga pelantar ikan musnah terbakar

Iklan
Tiga pelantar ikan di Pantai Remis musnah dalam kebakaran pada Ahad mengakibatkan kerugian RM470,000. Foto Pembaca

MANJUNG - Tiga pelantar ikan di Pantai Remis di sini musnah dalam kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat pada awal pagi Ahad.

Kejadian sekitar jam 1 pagi itu disedari pemilik premis sebelum membuat laporan polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kejadian mengakibatkan kerugian sekitar RM470,000.

Siasatan menerusi rakaman CCTV di tempat kejadian mendapati, kebakaran dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat. Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran tiga pelantar ikan di Pantai Remis dalam kejadian pada Ahad.

Menurutnya, siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati, kebakaran dilakukan individu dikenali pemilik premis.

Iklan

"Suspek telah bertindak membakar pelantar menggunakan bahan bakar dipercayai petrol sebelum melarikan diri.

"Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal bomba," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di kawasan di tepi jalan pelantar ikan terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki warga tempatan berusia 64 tahun terbabit mempunyai gangguan mental.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api," katanya.