Skuad APEC 2020 sasar 10,000 penyertaan

Iklan
Skuad APEC 2020 memberi penerangan mengenai APEC kepada penuntut Sunway University, Petaling Jaya semalam. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

SERDANG - Sekretariat Kebangsaan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020) menyasarkan penyertaan seramai 10,000 peserta menerusi program jerayawara Skuad APEC 2020 di empat negeri sepanjang persidangan itu berlangsung.

Ketua Jawatankuasa Kerja Komunikasi, Sekretariat Kebangsaan APEC 2020, Norhayati Abd Manaf berkata, selepas penganjuran di Selangor dan Putrajaya bulan ini, Skuad APEC 2020 akan menemui masyarakat di Sabah pada April ini, diikuti Pulau Pinang (Jun) dan Putrajaya serta Kuala Lumpur pada November.

Iklan
Iklan

Menurutnya, objektif penganjuran jerayawara Skuad APEC 2020 bertujuan mendekati masyarakat khususnya golongan muda untuk memberi informasi berkaitan APEC.

"Keistimewaan APEC berbanding mesyuarat-mesyuarat yang lain seperti seminar atau persidangan antarabangsa yang lain adalah penganjuran APEC dijalankan sepanjang tahun.

Iklan

"Kita bermula pada Disember 2019 dan akan berakhir pada November tahun ini yang dijalankan secara berperingkat, jadi adalah penting untuk kita membawa konsep ataupun kisah penganjuran APEC 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang semalam.

Mengulas lanjut, sambutan program pertama di Sunway Universiti yang berlangsung pada hari yang sama, Norhayati mengakui teruja dengan sambutan yang menggalakkan daripada penuntut institusi pengajian tinggi swasta itu.

Iklan

Menurutnya, seramai 600 peserta mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan oleh pihaknya.

"Jika sebelum ini rakyat hanya mendengar apa itu APEC tetapi dengan adanya program seumpama ini, kita dapat berkongsi maklumat dan menguar-uarkan sejarah penganjuran kali kedua APEC di Malaysia selepas penganjuran pertama pada tahun 1998.

"Sepanjang program ini, kita turut membawa kendera saji yang menyediakan maka-nan percuma mengikut tema-tema ekonomi APEC, contohnya hari ini (semalam) kita menyediakan sushi yang merupakan makanan dari Jepun yang turut terlibat pada persidangan APEC 2020,” katanya.

Sementara itu, Norhayati berkata, Malaysia turut melakar sejarah tersendiri pada penganjuran APEC 2020 kerana masih di bawah Perdana Menteri yang sama iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sejak penganjuran kali pertama 22 tahun lalu.