Kerajaan baharu jika cukup majoriti

Iklan
Md Shukri (kiri) dan Dr Awang Azman

SHAH ALAM - Kerjasama UMNO, Pas dan beberapa parti di Sabah serta Sarawak dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membentuk sebuah kerajaan baharu boleh berlaku sekiranya mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, perkara tersebut bukan suatu kesalahan di bawah Perlembagaan, malah dilihat sebagai suatu tindakan positif ke arah meletakkan kembali Malaysia di landasan tepat dalam soal sosial rakyat dan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

Beliau berpendapat, antara faktor kerjasama itu diperkatakan adalah kerana prestasi menteri Kabinet hari ini tidak memberangsangkan, isu keyakinan pelabur luar dan lebih penting ialah masalah dihadapi rakyat seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup meningkat dan bantuan.

"Pada pandangan saya, sekiranya benar perancangan ke arah kerjasama itu ada, ia suatu yang realistik dan bersesuaian dengan tuntutan semasa.

Iklan

"Kalau ada pihak yang menolaknya, ia suatu yang pelik kerana dalam konteks ini, ia merupakan penyatuan parti rakyat majoriti kaum di Malaysia.

"Jangan hanya melihat kepada pilihan raya sebagai pentas membuat perubahan tetapi soal pembinaan kestabilan negara ia memerlukan kerajaan perpaduan, kerajaan yang selamat dan boleh mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Katanya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan sekarang perlu berjiwa besar berkorban memberi laluan terhadap Kabinet baharu demi kebaikan negara dan rakyat.

"Dalam konteks ini, majoriti orang Melayu kelihatan telah hilang kepercayaan mereka terhadap kerajaan sekarang.

"Sekiranya wujud gabungan PH bersama BN, Pas dan gabungan parti Sabah dan Sarawak, ia mencipta sebuah kerajaan yang boleh kita eksploitasi sumber pengalaman sedia ada.

"Kalau kita lihat pada hari ini pun, Kabinet sekarang tidak popular dalam menjuarai isu-isu rakyat sebaliknya bercakap seperti di atas pentas politik pembangkang,” katanya.

Ditanya adakah ia suatu gerakan bagi menghalang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri, Md Shukri berkata, ia bukan suatu persoalan kerana isu peralihan kuasa sebenarnya tidak perlu diungkit.

"Polemik mengenai perkara itu perlu dihentikan kerana ia boleh mengganggu kestabilan negara.

"Jika kita lihat kepada kesan cakap-cakap berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri ini, berapa bilion negara rugi, pasaran ekonomi tidak teguh dan stabil kerana ia seolah-olah mencipta imej bahawa Dr Mahathir hanya Perdana Menteri sementara.

"Kita tidak boleh biarkan persepsi awam dan antarabangsa terhadap Dr Mahathir ini tidak serius kerana dia hanya menjalankan tugas sementara,” katanya.

Diajukan soalan apa yang bakal berlaku kepada PH sekiranya Bersatu membentuk kerajaan tanpa PKR dan DAP, beliau berkata, kedua-dua parti itu boleh memberikan sokongan walaupun tidak menjadi ahli kerajaan demi kebaikan negara serta rakyat.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penentuan kepada kewujudan sebuah pakatan baharu bergantung kepada permainan politik angka di Dewan Rakyat.

Jelasnya, walaupun ia tidak menyalahi perlembagaan, namun ia sebenarnya melibatkan soal moral politik kerana seolah-olah mengkhianati kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Jika dahulu UMNO dan Pas ditolak oleh rakyat tetapi pihak yang menerimanya (untuk membentuk kerajaan baharu) tidak mempedulikan pilihan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang ingin mewujudkan gabungan bagi membentuk kerajaan baharu juga perlu membuktikan ia mempunyai undi yang cukup.