BACHOK - Kerajaan akan memberikan penjelasan berhubung isu lafaz baiah yang diamalkan dalam kalangan parti politik tertentu di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Mufti berhubung perkara berkenaan.
“Isu baiah politik, kita akan mengadakan pencerahan dan penjelasan daripada pihak berautoriti.
"Kita juga sudah memohon pandangan daripada Jabatan Mufti. Kita ingin memberikan pandangan sebaiknya berdasarkan sumber yang sahih kepada masyarakat,” katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.
Sebelum itu, beliau merasmikan Sesi Penyeraham Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis di sini
Media tempatan sebelum ini melaporkan, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman menafikan dakwaan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa wujudnya lafaz baiah dan sumpah daripada parti itu yang menuntut pemimpinnya menceraikan isteri, jika berlaku perlanggaran.
Mohd Syahir turut memuat naik teks lafaz baiah dan sumpah itu di akaun Facebooknya, sekali gus membuktikan tiada pernyataan yang menuntut mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya menceraikan isteri, jika melompat ke parti lain.
Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut mencabar Mohd Asri menunjukkan perkara yang 'memalukan' di dalam teks lafaz baiah dan sumpah terbabit.