'UMNO pembangkang berkesan, mengapa tidak tunggu PRU15?'

Iklan
Nik Nazmi

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan hasrat UMNO mewujudkan 'kerajaan pintu belakang' seperti yang didakwa walaupun menang bergaya melalui dua pilihan raya kecil (PRK) terbaru.

Katanya, perkara tersebut jelas mengkhianati undi rakyat dan tidak sihat untuk sistem demokrasi di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika UMNO berhasrat memerintah semula, mereka sepatutnya memperbaiki parti dan menggunakan pilihan raya.

"Jika benar ada pimpinan UMNO yang yakin dengan perjuangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mereka sepatutnya meninggalkan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ketika Dr Mahathir dihina dan diserang bertalu-talu. Bukan ketika Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan.

Iklan

"Di Malaysia kita mencipta sejarah dengan proses pertukaran kerajaan berlaku secara aman selepas PRU14. Ini membuktikan demokrasi lebih matang. Mewujudkan kerajaan pintu belakang hanya akan mencemarkan amalan demokrasi dan mengundang ketidakstabilan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengambil contoh kedudukan Pas ketika bersama UMNO pada 1970-an, beliau berkata, walaupun retoriknya ialah perpaduan Melayu-Islam namun realitinya masyarakat Melayu mencari suara alternatif sebagai elemen semak dan imbang kepada kerajaan.

Iklan

"Mahasiswa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Parti Rakyat Malaysia mendapat nafas baharu dan Pas tersingkir daripada Barisan Nasional (BN). Hubungan UMNO dan Pas menjadi kritikal pada tahun 1980-an.

"Ini belum mengambil kira isu pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya. Buat masa ini UMNO parti pembangkang terbesar di Parlimen dan pada masa tertentu mereka membangkitkan persoalan yang baik kepada kerajaan.

"Tidak seperti kami sebelum ini, UMNO mendapat kerusi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen malah Ahli Parlimen pembangkang mendapat peruntukan daripada kerajaan sementara mereka ada ruang akses kepada media," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, UMNO masih efektif berfungsi sebagai pembangkang malah mereka sepatutnya memainkan peranan tersebut bagi tujuan semak dan imbang kepada kerajaan hari ini.

"UMNO merupakan 'the grand old party' Malaysia yang pernah ditinggalkan presiden parti sebelum ini.

"Saya harap UMNO terus konsisten menjadi pembangkang yang baik, berperanan untuk menyemak imbang keputusan yang dilakukan oleh kerajaan pada PRU15, bertarung di gelanggang pilihan raya dengan bermaruah dari segi ideologi, dasar serta polisi. Bukan pertimbangan mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun," katanya.