Warga emas cedera rempuh tiga pagar rumah

Iklan
Kereta yang dipandu warga emas terbabit merempuh sebuah rumah di Taman Bukit Bendera Mentakab di sini petang tadi.

TEMERLOH - Seorang lelaki warga emas cedera selepas merempuh tiga pagar rumah di Taman Bukit Bendera Mentakab di sini petang tadi.

Lelaki berusia 74 tahun yang juga penduduk di taman tersebut memandu kereta jenis proton seorang diri dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu terbabit hendak ke bandar Mentakab.

"Semasa mengundurkan kenderaan dari kawasan tempat letak kereta, pemandu tertekan minyak dan melanggar pagar rumah bernombor 22.

Iklan

"Apabila hendak ke hadapan, pemandu tertekan lagi minyak dan melanggar pagar serta sebuah kereta yang berada di dalam pagar rumah bernombor 21 dan pemandu mengundurkan semula keretanya sebelum melanggar rumah bernombor 22 sekali lagi.

"Selepas itu, pemandu meneruskan perjalanan dan melanggar pula pagar rumah bernombor 19. Ketika kejadian, ketiga-tiga rumah terbabit tiada penghuni," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Jelasnya, pemandu terbabit mengalami kecederaan belakang akibat kejadian dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan selanjutnya.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Peraturan 10 RLN166/59.