Tourism Malaysia tingkat hala tuju Tahun Melawat Malaysia 2026

Iklan
Tourism Malaysia.

TOURISM Malaysia mengadakan sesi 'Business-to-Business' (B2B) dengan pihak berkepentingan industri sebagai usaha meningkatkan strategi dan pelan hala tuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Agensi itu memaklumkan, sesi yang dihadiri pemain utama industri termasuk ejen pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan itu membincangkan hala tuju rancangan yang dibentangkan ketika jaringan 'Hala Tuju Strategik Pelancongan Malaysia Ke Arah VM2026' yang berlangsung April lalu.

Iklan
Iklan

"Sesi ini berfungsi sebagai medan perbincangan kritikal untuk memperkemas dan mengukuhkan pejabat Tourism Malaysia di luar negara bagi memastikan pelaksanaan program berimpak tinggi serta penukaran idea dengan pantas.

"Program ini juga memanfaatkan maklum balas serta sokongan daripada pemain industri. Wawasan ini penting dalam membangunkan pemasaran secara berkesan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tersebut turut mengesahkan komitmen untuk merealisasikan visi VM2026 dengan menyasarkan 35.6 juta ketibaan pelancong dengan penjanaan sejumlah RM147.1 bilion.

Justeru menurutnya, usaha berkenaan perlu mendapat kerjasama dan dedikasi semua pihak untuk mencapai matlamat tersebut.

Iklan

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sri Tiong King Sing berkata, perjalanan menuju VM2026 bukan sekadar kempen tetapi usaha kolektif yang memerlukan sokongan serta dedikasi setiap individu.

"Marilah kita bekerjasama untuk menyusun semula strategi dan pelan tindakan pemasaran, memanfaatkan maklum balas dan pandangan yang diperoleh daripada sesi ini.

"Dengan berbuat demikian, kita boleh mencipta kempen menarik yang memberi inspirasi kepada masyarakat antarabangsa untuk mengenali keajaiban Malaysia," ujarnya.

Sesi yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini dihadiri lebih 80 wakil tempatan dengan peserta berpeluang bertemu 30 wakil pejabat Tourism Malaysia luar negara bagi membincangkan penyediaan platform produktif serta rangkaiannya.