Jho Low catur operasi 1MDB - Saksi

Iklan
Jho Low.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low mencatur semua operasi dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin berkata demikian selepas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan cadangan tersebut, semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Iklan
Iklan

Dia yang juga saksi pendakwaan ke-49 bersetuju bahawa, walaupun tidak dilantik secara sah dan tidak memegang sebarang jawatan dalam 1MDB, Jho Low telah mengawal syarikat pelaburan strategik negara itu.

Bagaimanapun beliau berkata, peranan Jho Low adalah berdasarkan arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Iklan

Muhammad Shafee: Dalam pernyataan saksi, kamu katakan Jho Low yang caturkan, soalan saya, apa yang dia catur?

Nur Aida: Jho Low yang mencaturkan pengoperasian 1MDB.

Iklan

Muhammad Shafee: Jadi saya katakana, yang kamu maksudkan Jho Low yang kawal segalanya.

Nur Aida: Betul.

Muhammad Shafee: Di peringkat awal penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), Jho Low dilantik secara sah sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (ketika itu) dan bukannya oleh Najib.

Nur Aida: Setuju.

Muhammad Shafee: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mempunyai tabiat mengambil arahan daripada Jho Low untuk dibawa kepada pengurusan 1MDB.

Bagaimanapun, saksi ini menafikan perkara berkenaan kerana ia merupakan arahan daripada bekas Ahli Parlimen Pekan terbabit.

Untuk rekod, TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 sebagai entiti milik kerajaan negeri Terengganu dan kemudiannya dinamakan semula sebagai 1MDB pada 25 September tahun sama.

Najib, 71, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung dengan Nur Aida membaca pernyataan saksi setebal 95 muka surat.

Prosiding bersambung Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!