[VIDEO] Remaja murung raih 9A SPM

Iklan

KOTA BHARU - Seorang remaja yang mengalami penyakit mental kemurungan berjaya meraih keputusan cemerlang 9A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Pelajar SMK Kubang Kerian, Siti Bayu Mohd Ridzuan, 18, meraih dua A+ bagi mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Islam, manakala tujuh lagi A untuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi, Pendidikan Seni Visual dan Ekonomi.

Iklan
Iklan
Siti Bayu menunjukkan keputusan SPM 2023 yang diraih.

Anak keempat daripada lima beradik itu disahkan mengalami kemurungan akibat gangguan misteri sejak di Tingkatan Tiga semasa belajar di sebuah sekolah cemerlang dan tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Siti Bayu (kanan) dan Che Zusila (kiri) melihat keputusan SPM 2023 melalui dalam talian.

Katanya, dia juga terpaksa ditukarkan ke sekolah lain iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian II semasa Tingkatan Empat sebelum bertukar dan berjaya menamatkan persekolahan di Tingkatan Lima di SMK Kubang Kerian selain mencapai 8A serta 1C bagi Matematik pada peperiksaan percubaan yang lalu.

Iklan

"Harapan tinggi daripada pihak sekolah dan ibu bapa menjadi tekanan kepada saya untuk bertungkus lumus mendapatkan kesemua A kerana saya tidak mahu mengecewakan mereka.

"Paling penting saya tidak mahu kecewakan diri sendiri sebab saya dah berjanji dengan diri sendiri nak dapat semua A dan sambung belajar ke Universiti Malaya seterusnya ke luar negara iaitu United Kingdom,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang peguam.

Siti Bayu (kanan) menunjukkan nota-nota pembelajaran yang ditulisnya menggunakan pen berwarna merah dan lukisan dihasilkan.

Iklan

Siti Bayu ditemani ibunya, Che Zusila Che Daud, 49, (tukang urut juga ibu tunggal) ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kedai Baru, Binjai dekat sini pada Isnin selepas keputusan SPM 2023 diumumkan.

Gadis berkenaan turut menekankan penjagaan kesihatan mental diri sendiri dengan tidak menghiraukan kata-kata buruk orang lain terhadapnya selain memastikan mendapat tidur yang cukup setiap hari.

"Saya selalu cakap tak boleh fokus dan minum air kosong sebanyak dua liter sehari serta tak minum kopi sebab kafein boleh menyebabkan saya sakit kepala.

"Pesanan saya supaya tidak menghiraukan kata-kata orang lain dan hanya fokus kepada diri sendiri kerana orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan, hanya anda boleh tentukan kehidupan sendiri,” katanya.

Siti Bayu (kanan) dipeluk ibunya, Che Zusila (kiri) melepas menerima keputusan cemerlang SPM pada Isnin

Dalam pada itu, Siti Bayu turut berkongsi cara dia menuntut ilmu dalam keadaan kesihatannya dengan tetap hadir ke sekolah dan membuat nota-nota pembelajaran menggunakan pen berwarna merah.

Dia turut memastikan dirinya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada bila-bila masa sahaja atau ketika kemurungannya menyerang.

"Saya belajar tak tulis guna pen berwarna hitam tetapi guna pen berwarna-warni atau merah kerana lebih menarik dan otak cepat hadam.

"Saya nak ucap terima kasih Dr Suria, walaupun saya ada masalah dari segi mental, Dr Suria bagi saya semangat untuk terus hidup,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!