Arahan bertulis Bersatu: Abdul Rashid minta Hamzah jelas tiga perkara

Iklan
Abdul Rashid

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari mempertikaikan keabsahan arahan bertulis yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadapnya minggu lalu.

Berdasarkan dokumen dipercayai jawapan bertulis kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bertarikh 23 Mei lalu, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu meminta penjelasan Ahli Parlimen Larut mengenai tiga perkara berkaitan keputusan arahan tersebut.

Iklan
Iklan

Abdul Rashid memohon pengesahan status keahlian dua ahli MPT yang didakwa hadir ketika mesyuarat tersebut diadakan melibatkan Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan Mohd Yazid Mohd Yunus.

Menurutnya, Fasal 7.3 Perlembagaan Bersatu pada 2019 menyatakan 'Ahli biasa ialah warganegara Malaysia Pribumi yang berumur 18 tahun ke atas'.

Iklan

Fasal 2 Perlembagaan parti turut menyebut 'Takrif Pribumi bermaksud warganegara Malaysa berbangsa Melayu dan Bumiputera termasuk orang asal dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan undang-undang negara.

Oleh yang demikian Abdul Rashid mendakwa, keahlian kedua-dua individu berkenaan yang masing-masing berbangsa India Muslim dan Punjabi adalah tidak sah sebagai ahli biasa Bersatu selain kedudukan mereka sebagai ahli MPT juga tidak sah dari awal pelantikan.

Iklan

Di samping itu beliau mendakwa, pindaan Fasal 7 Perlembagaan parti tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat MPT dan diluar pengetahuannya sebagai ahli dan Ketua Bahagian Bersatu serta ahli-ahli lain kerana tidak pernah dibentangkan ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Menurut Abdul Rashid, pindaan secara senyap kepada Perlembagaan Bersatu pada 2021 tercatat pada Fasal 7.2 mengenai 'Ahli biasa ialah warganegara Malaysia Pribumi atau warganegara Malaysia beragama Islam berumur 18 tahun ke atas'.

Beliau mendakwa, pindaan dengan penambahan klausa 'atau warganegara Malaysia beragama Islam' tidak mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terlebih awal dan boleh menyebabkan Bersatu dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355) dan Peraturan-peraturan.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai tarikh dan tempat mesyuarat MPT Bersatu dibuat, senarai kehadiran ahli MPT serta meminta satu salinan minit mesyuarat berkenaan.

Sementara itu ketika dihubungi Sinar Harian, Abdul Rashid mengesahkan kandungan dokumen berkenaan dan memaklumkan telah menyerahkan jawapan bertulis itu kepada Hamzah pada pagi Isnin.

"Saya minta penjelasan daripada Setiausaha Agung (Bersatu) bagi memudahkan saya menjawab semua surat bersama arahan MPT pada 17 Mei lalu," jelasnya ringkas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!