Akses Pihak Ketiga industri bekalan tenaga negara akan dilaksana September

Iklan
Fadillah bergambar di hadapan tempat pemprosesan biojisim sempena Majlis Pelancaran Projek Kombinasi Pembakaran Biojisim Malakoff Corporation Berhad di Kompleks Tanjung Bin, Pontian.

PONTIAN - Akses Pihak Ketiga (Third Party Access) dalam industri bekalan tenaga negara dijangka dilaksanakan kerajaan mulai September ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat pada Julai nanti.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memberitahu perancangan mengenai pelaksanaan Akses Pihak Ketiga bekalan tenaga negara itu juga sedang berjalan.

"Tarikh penguatkuasaan inisiatif itu pada asalnya dirancang pada tahun hadapan, namun diawalkan ke tahun ini kerana menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak yang berminat untuk menceburi sektor pembekalan tenaga.

Iklan
Fadillah

"Menerusi Akses Pihak Ketiga bekalan elektrik ini bermakna ada pihak lain boleh membekalkan tenaga sekiranya ada pelanggan mereka sendiri.

"Pihak ketiga boleh bekalkan buat power generation (penjanaan kuasa) sendiri dan bekalkan terus kepada pelanggan mereka tetapi akan menumpang 'transmission line' TNB," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Inisiatif Kombinasi Pembakaran Arang Batu bersama Biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Kukup di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan yakin dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (Co2) sebanyak 10 juta setahun dengan meningkatkan penggunaan biojisim sebagai bekalan tenaga negara.

Ujarnya, sasaran itu dapat dicapai dengan menyasarkan 40 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui dalam campuran bahan api negara.

"Dalam hal ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyasarkan 40 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran bahan api negara pada tahun 2035.

"Sasaran yang ditetapkan ini dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (Co2) sebanyak 10 juta tan setahun.

"Kementerian sentiasa komited dalam meningkatkan kapasiti tenaga diperbaharui sehingga mencapai sifar bersih pada tahun 2050," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!