Penduduk Puncak Alam mahu klinik kesihatan

Iklan
Harrison (kanan) bertanya sesuatu kepada Noridayu serta keluarganya yang hadir pada Program Jeram Lestari Kesejahteraan Rakyat di Dewan Komuniti Fasa 3 di sini pada Ahad.

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan digesa mempercepatkan pembinaan klinik kesihatan di Puncak Alam di sini yang mempunyai kira-kira 200,000 penduduk.

Ketiadaan klinik kesihatan di kawasan berkenaan mengundang resah penduduk yang menanti prasarana itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Noridayu Mat Yaacob, 31, berkata, pada ketika ini, penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jeram atau ke Klinik Kesihatan Bukit Cherakah yang jaraknya melebihi 15 kilometer dari Puncak Alam.

"Saya sendiri akui terpaksa membawa anak berusia lapan bulan jalani pemeriksaan rutin setiap bulan ke Klinik Kesihatan Jeram.

Iklan

"Jarak perjalanan rumah saya di Puncak Alam ke Klinik Kesihatan memakan masa hampir setengah jam untuk ke sana dan menelan kos pengangkutan yang tinggi," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Jeram Lestari Kesejahteraan Rakyat di Dewan Komuniti Fasa 3 di sini pada Ahad.

Noridayu

Noridayu memberitahu, ketiadaan klinik kesihatan di Puncak Alam itu juga menyebabkan berlakunya kesesakan di dua fasiliti kesihatan di kampung berhampiran.

Iklan

"Masalah ini menyebabkan dua klinik kesihatan terbabit padat kerana dipenuhi penduduk dari Puncak Alam untuk mendapatkan khidmat kesihatan," ujarnya.

Jelasnya, pada masa ini, hanya terdapat klinik ibu mengandung yang terletak di sebuah taman perumahan fasa 2 di kawasan ini, namun ia tidak kondusif berikutan ketiadaan ruang parkir mencukupi dan sesak.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ridzuan Ab Samad, 57, berkata, isu ketiadaan klinik kesihatan bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah lama diperjuangkan penduduk.

Mohd Ridzuan

Mohd Ridzuan yang menetap di Taman Asana Alam 2 berkata, penduduk sudah letih mengadu kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

"Pembinaan klinik kesihatan sudah lama dikemukakan oleh pelbagai pihak, namun kami masih menanti bila ia dapat dilaksanakan," ujarnya yang menetap lebih 22 tahun di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, Normi Sarkawi, 64, berkata, tiada sebab projek itu masih belum dilaksanakan sedangkan jumlah penduduk mencukupi bagi pembinaan sebuah klinik kesihatan.

Katanya, keadaan itu lebih mendesak terutama dengan pembukaan lebih banyak taman perumahan di kawasan tersebut.

Normi

"Sampai bila kami harus menanti klinik kesihatan sedangkan jumlah penduduk semakin bertambah dari semasa ke semasa," ujarnya.

Pengerusi Pemuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan berkata, pembinaan klinik kesihatan itu penting supaya dapat memberi rawatan awal kepada penduduk terutama ibu mengandung, warga emas serta kanak-kanak.

Jelas beliau, penduduk menanti 'khabar gembira' agar sebuah klinik kesihatan dapat dibina di kawasan lebih strategik bagi memudahkan urusan mereka mendapatkan rawatan.

"Kita berharap pembinaan klinik kesihatan ini disegerakan bagi meningkatkan lagi kualiti kesihatan di kawasan ini," tambahnya.

Harrison (dua dari kanan) bersama Mohd Hanif (dua dari kiri) dan penduduk berbual pada Program Jeram Lestari Kesejahteraan Rakyat di Dewan Komuniti Fasa 3 di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, isu berkenaan sudah dua kali dibangkitkan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Justeru katanya, beliau memohon kerjasama Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membantu menyelesaikan isu kemudahan kesihatan di kawasan itu.

"Saya memahami proses pembinaan itu mungkin memerlukan masa, namun beliau (Dzulkefly) boleh mempermudahkan kerana ia bergantung kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!