Lelaki Pakistan ditahan edar 2kg ganja

Iklan
Ketulan mampat dipercayai ganja dan pil kuda yang dirampas pihak polis.

KOTA BHARU - Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas disyaki mengedar dua ketulan mampat dadah dipercayai ganja seberat 2 kilogram (kg) di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Selalu lalu.

Suspek berusia 40 tahun terbabit ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza pada jam 9.50 malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Briged Tenggara.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemukan anggaran 2kg dadah dipercayai ganja bernilai RM6,200.

Iklan

"Toyota Avanza yang dianggar bernilai RM13,000 itu turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod kesalahan lampau.

Iklan

"Suspek bagaimanapun ditahan reman tujuh hari berkuat kuasa bermula Rabu lalu hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

Dalam kes berlainan beliau berkata, seorang penjawat awam lelaki iaitu pembantu perubatan gred 29 ditahan pada jam 5.10 petang, Sabtu lalu kerana memiliki dadah jenis pil kuda.

Dadah jenis pil kuda yang turut dirampas dalam operasi bersepadu di Kelantan.

"Suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan di belakang sebuah stor di Kampung Baloh, Kok Lanas.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek menjumpai sejumlah dadah pil kuda manakala ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya melakukan tangkapan-tangkapan terbabit melalui Op Tapis Bersepadu dan Op Bersepadu Sempadan yang dilaksanakan di seluruh Kelantan bermula 16 hingga 25 Mei 2024 dengan keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan harta berjumlah RM887,588.

Katanya, keseluruhan seramai 812 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya1952, Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 dan Akta Racun 1952.

"Suspek-suspek berusia dari 16 hingga 72 tahun dan terdiri daripada 793 lelaki manakala 19 wanita.

"Dadah-dadah dirampas dianggarkan bernilai RM560,107 antaranya pil kuda sebanyak 2.73kg, heroin (28.98 gram), ganja (31kg), dan syabu 63.4 gram,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!