22 lokasi kepala air di Terengganu, pengunjung diminta waspada

Iklan
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 22 lokasi kawasan peranginan dan rekreasi berisiko tinggi berlaku kejadian kepala air di Terengganu susulan cuaca tidak menentu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, ia melibatkan kawasan seperti lata, sungai dan air terjun di lima daerah di negeri ini iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Iklan
Iklan

"Daerah Dungun juga merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi dengan lima lokasi seperti Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lubuk Kain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Rosman menyatakan bagi daerah Besut, empat kawasan berisiko tinggi iaitu Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark.

Iklan

Selain itu, katanya bagi daerah Setiu pula melibatkan empat kawasan berisiko tinggi seperti Lata Ulu Kasar, Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah dan Lata Payung.

"Bagi daerah Kemaman pula, Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Puteh dan Sungai Cherul dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlaku kepala air," ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Rosman berkata, empat kes lemas direkodkan sejak awal tahun hingga kini yang berlaku di Terengganu.

"Data yang diterima daripada Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) berkenaan kes lemas bagi keseluruhan negeri Terengganu merekodkan satu kes berlaku di Pantai Teluk Lipat di Dungun melibatkan tiga mangsa manakala Pantai Kekabu, Marang melibatkan seorang mangsa.

"Selain itu, daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu masing-masing melibatkan seorang mangsa," ujarnya.

Justeru, Mohd Rosman berkata, pihaknya meningatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan awal jika berhasrat berkhemah atau beriadah di kawasan tersebut.

"Tidak dinafikan bahawa faktor cuaca hujan yang tidak menentu akan menyebabkan risiko berlaku kejadian kepala air. Jadi kita sering menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil tahu situasi cuaca di lokasi dituju.

"Mereka perlu memastikan kawasan perkhemahan yang didirikan itu berada di tapak dan jarak selamat dari gigi air.

"Mereka juga perlu peka mengawasi aktiviti ahli keluarga terutama anak-anak di dalam air serta mengesan sebarang perubahan air seperti paras ketinggian, warna, kederasan dan keberadaan puing-puing asing yang timbul di permukaan air," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!