Jayden pastikan Kuala Lumpur tinggalkan jauh pesaing

Iklan
Aksi atlet renang pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-66 di Pusat Akuatik Bukit Jalil pada Sabtu.

PERENANG muda negara Jayden Tan memastikan Kuala Lumpur terus meninggalkan pencabarnya apabila menyumbang dua pingat emas pada hari ketiga Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-66 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Jayden meraih emas peribadi pertama apabila mengungguli final acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki selepas mencatat masa tiga minit 55.52 saat (s), menewaskan rakan sepasukan Muhammad Dhuha Zulkifry, kedua (3:57.22s) dan wakil Bisp Sea Eagles Swimming Ali Jafari ketiga (3:58.10s).

Iklan
Iklan

Pemenang pingat gangsa 400m rampaian individu lelaki Sukan SEA 2023 berusia 20 tahun itu kemudian membantu kuartet Kuala Lumpur antara lain yang dibarisi Muhammad Dhuha, Muhammad Arif Zulfikry dan Vitus So Teng Hoe, meraih emas dalam acara 4x200m gaya bebas.

Mereka merekodkan 7:58.59s untuk mengenepikan cabaran kuartet Selangor di tempat kedua (7:59.16s) dan tempat ketiga menjadi milik Sarawak yang mencipta masa 8:17.48s.

Iklan

"Seterusnya tumpuan utama ialah Sukan SEA Thailand dan tidak sabar menantikannya. Saya benar-benar berharap untuk melakukannya dengan baik, bukan sahaja dalam acara individu tetapi juga rampaian berganti-ganti. Saya rasa pasukan kita boleh menjadi kuat.

"Bagi saingan saya di sana, perenang Vietnam memang pantas...mereka sangat bagus...saya akan cuba sedaya upaya untuk merapatkan jurang. Kami masih ada masa dan saya perlu mengekalkan disiplin dan terus memaksa diri untuk melakukan dengan lebih baik," katanya kepada pemberita di sini.

Iklan

Dua emas dituai Kuala Lumpur hari ini menyaksikan kontinjen itu menerajui carta kedudukan pingat dengan keseluruhan tujuh emas diikuti pencabar terdekat Mongolia kedua dengan lima emas.

Sementara itu, seorang lagi perenang negara Phee Jinq En yang mewakili Selangor terpaksa akur dengan pingat perak selepas menamatkan final 50m kuak dada wanita dengan catatan masa 31.92s di belakang wakil Denmark Thea Blomsterberg (31.63s) sementara Tan Rouxin dari Johor ketiga (32.63s).

Jinq En yang juga pemegang rekod kebangsaan acara itu dengan masa 31.40s dan Blomsterberg masing-masing berjaya 'memadam' rekod kejohanan 31.99s milik atlet Taiwan Lin Pei-wun.

Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-66 yang bermula Khamis akan melabuhkan tirainya Ahad. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!