Pelihara keharmonian, pupuk bermula diri sendiri - Aaron

Iklan
Pengunjung tertarik melihat tarian tradisional yang dipersembahkan etnik rumah Kadazan dan Dusun sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall pada Sabtu. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri bermula daripada diri sendiri dan kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, perpaduan seharusnya menjadi cara hidup dan amalan semua individu dan merupakan asas utama yang berupaya menguatkan seluruh rakyat Malaysia menjadi anak watan dengan semangat jati diri yang tinggi.

Iklan
Iklan

"Kita semua perlu ingat, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai.

"Saya berharap agar semua pihak dapat menghayati prinsip faham dan terima dalam memupuk keharmonian serta kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2024 di Dataran Angsana Johor Bahru Mall di sini malam Sabtu.

Iklan

Perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut Aaron setakat ini terdapat lebih 300 RT melaksanakan aktiviti ekonomi yang merangkumi projek pertanian (kebuniti), penghasilan produk makanan, minuman, kesihatan, kraf tangan, perkhidmatan katering dan pelancongan berasaskan komuniti.

Iklan

"Fasa 1 terdapat 116 RT di seluruh negara telah pun dikenal pasti untuk dijadikan Model RT Progresif.

"RT Progresif ini dijangkakan memacu kecemerlangan dalam khidmat komuniti dan kerja kemasyarakatan melalui lapan bidang tumpuan merangkumi ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta.

"Sehubungan itu, saya memohon jasa baik Perdana Menteri dapat mempertimbangkan peruntukan khas melalui Dana Komuniti MADANI bagi tujuan pemerkasaan dan projek ekonomi Rukun Tetangga," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz ketika berucap berkata aspek perpaduan sentiasa diterapkan dalam kalangan rakyat di negeri itu yang dikenali sebagai ‘Bangsa Johor’.

"Konsep Bangsa Johor telah terukir sejak 1920 oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim, iaitu baginda mahu Johor masyarakatnya ada (mengamalkan) perpaduan berbilang kaum dan bersatu padu,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!