Ibu maut, anak cedera tercampak atas jalan

Iklan
Gambar hiasan.

GOMBAK - Seorang wanita warga asing maut manakala anaknya cedera selepas motosikal dinaiki dua beranak itu dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dekat Taman Desa Mas di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa bersama anak perempuannya menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dipercayai dari arah Saujana Rawang menghala ke Bandar Country Homes.

Iklan
Iklan

"Setibanya di lokasi kejadian mangsa yang menunggang motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar pembahagi jalan.

"Kejadian mengakibatkan mangsa bersama anaknya tercampak atas jalan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, kedua-dua mereka kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa yang merupakan wanita warga asing berumur 39 tahun itu mengalami kecederaan dalaman manakala anaknya yang berumur lima tahun cedera di bahagian kepala.

Iklan

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596.

"Selain itu, maklumat juga dapat disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!