Norza letak jawatan selepas Olimpik

Iklan
Mohamad Norza (tengah) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu, Foto Bernama

TAN Sri Mohamad Norza Zakaria pada Sabtu mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semasa Mesyuarat Majlis dijangka pada 24 Ogos, hanya dua minggu selepas Sukan Olimpik Paris 2024 dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Beliau berkata, Timbalan Presiden I BAM, Datuk V. Subramaniam akan berkhidmat sebagai pemangku Presiden sehingga Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) pada akhir penggal semasa dijangka April hingga Jun tahun depan untuk memilih pemegang jawatan baharu.

Iklan
Iklan

Mohamad Norza yang menerajui BAM sejak 2017 sebelum ini mengumumkan mahu melepaskan jawatannya pada Disember 2023 dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dinamakan sebagai penggantinya.

Bagaimanapun, setelah dipujuk oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, beliau bersetuju untuk kekal sehingga Paris 2024.

Iklan

"Saya masih ingat semasa saya kata nak lepaskan jawatan, terus terang saya katakan, banyak aktiviti politik dalam persatuan. Saya akan tinggalkan lebih awal sebelum penggal tamat pada 2025. Demi mengekalkan kestabilan dan mengukuhkan apa yang kita ada pada masa ini, semua orang menerima bahawa perlu dipilih calon dalaman (sebagai pemangku Presiden).

Beliau akan kekal sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Iklan

Ditanya mengenai pencalonan Tengku Zafrul sebagai Presiden akan datang, beliau berkata, terpulang kepada ahli Majlis untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Subramaniam bersedia memikul tanggungjawab besar yang ditinggalkan Mohamad Norza dalam meneruskan usaha beliau untuk memperkasakan lagi badan induk badminton negara itu.

"Sama ada saya mahu bertanding (untuk jawatan Presiden) atau tidak pada pemilihan akan datang, kita akan bincang kemudian. Apa yang lebih penting, saya mahu meneruskan apa sahaja kerja dan rancangan yang ditinggalkan oleh Presiden untuk BAM.

"Saya, pasukan pengurusan bersama Tan Sri dan Setiausaha Agung (Datuk Kenny Goh) telah bekerjasama dengan penaja seperti Petronas dan Yonex selama ini, kami kenal antara satu sama lain. Saya tidak fikir akan ada isu, mereka akan terus menyokong kami,” katanya.

Subramaniam telah terlibat dengan Persatuan Badminton Selangor sejak 1988 sebelum mula berkhidmat sebagai Naib Presiden BAM pada 2007.

Pada Mac 2022, BAM telah menandatangani perjanjian penajaan terbesarnya dengan Petronas untuk tempoh tiga tahun, di samping perjanjian penajaan lima tahun dengan jenama badminton antarabangsa terkenal Yonex bernilai RM55 juta pada April 2021.

Mengenai perkembangan lain, Majlis BAM juga bersetuju untuk melaksanakan insentif berasaskan prestasi untuk ahli gabungan (persatuan negeri) dan sistem akreditasi kelab seperti di negara Eropah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!