Pasar Payang 1 pusat sehenti barangan kemas di Terengganu

Iklan
Pasar Payang 1 bakal menjadi pusat sehenti barangan kemas selepas ia mula beroperasi pada Julai depan. Gambar kecil: Wan Sukairi

KUALA TERENGGANU - Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 yang dijangka dibuka kepada pengunjung bermula Julai ini bakal menjadi pusat sehenti bagi jualan barangan kemas di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bangunan setinggi dua tingkat itu akan dibahagikan mengikut jenis perniagaan dengan jualan barangan kemas berada di aras bawah bangunan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 63 peniaga barangan perhiasan khususnya menjual emas akan ditempatkan di aras bawah pusat perniagaan yang menjadi antara lokasi tumpuan utama pelancong ke Terengganu.

"Perniagaan di aras satu lebih tertumpu kepada pakaian seperti batik, songket dan sutera manakala di aras bawah pula kita bahagikan kepada kedai emas, cenderamata serta kedai makan.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Wan Sukairi berkata, taklimat terperinci mengenai proses perpindahan peniaga dari lokasi sementara di Pasar Payang 2 ke Pasar Payang 1 telah dibincangkan dalam perjumpaan bersama 580 peniaga baru-baru ini.

Menurutnya, selain proses perpindahan turut dibincangkan mengenai proses pengubahsuaian Pasar Payang 2 bagi menempatkan peniaga yang berada di luar pasar tersebut.

Iklan
Menara jam yang sebelum ini yang menjadi mercu tanda Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu dibina semula bagi mengekalkan konsep asal pusat perniagaan itu.

"Kita telah berbincang untuk mengosongkan bahagian luar Pasar Payang 2 bagi menempatkan peniaga-peniaga yang berada di luar ke bahagian dalam bangunan itu.

"Proses perbincangan melibatkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif; Pengarah Kanan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

"Walaupun pada mulanya terdapat peniaga yang ingin kekal di lokasi lama, semua peniaga diberikan tempoh masa ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan akur dengan keputusan untuk berpindah," katanya.

Beliau berkata, setiap peniaga akan melalui proses pengundian pada Jun ini bagi menentukan lokasi tapak niaga masing-masing.

Jelasnya, proses itu dilakukan sebelum pihak kontraktor menyerahkan bangunan baharu bernilai RM69.3 juta itu kepada KPKT Julai depan.

"Proses pengundian akan dijalankan dalam bulan Jun ini untuk menentukan segmen-segmen tertentu kepada para peniaga.

"Kita harap dengan beroperasinya Pasar Payang 1 pada bulan Julai nanti, ia akan membawa harapan baru kepada peniaga dan penduduk setempat.

"Kita juga berharap agar aspek kebersihan dapat dititikberatkan sebaik mungkin selepas pusat perniagaan itu beroperasi nanti,” ujarnya.

Pasar Kedai Payang yang sebelum ini mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasar berkenaan menjadi tarikan utama pelancong bagi membeli produk warisan Terengganu antaranya batik, songket, makanan tradisional, tembaga dan kraf tangan.

Pembinaan pasar baharu telah bermula pada 2018 selepas kerajaan melalui KPKT meluluskan pembinaan semula bangunan yang sangat daif untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!