1MDB saman Patrick Mahoney, tuntut bayar semula wang AS$1.83 bilion

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan saman terhadap Ketua Pegawai Pelaburan PetroSaudi International Ltd, Patrick Mahoney bagi menuntutnya membayar semula wang berjumlah AS$1.83 bilion kerana didakwa telah membantu beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Selain Mahoney, 1MDB yang memfailkan saman itu pada 7 Mei lepas menerusi Tetuan Lim Chee Wee Partnership di Mahkamah Tinggi di sini, turut menamakan firma guaman yang berpangkalan di United Kingdom iaitu White & Case LLP (White & Case) sebagai defendan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, 1MDB selaku plaintif mendakwa Mahoney secara tidak jujur telah membantu Najib dan beberapa individu lain seperti Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah PSI, Tarek Obaid untuk menipu 1MDB.

Syarikat itu mendakwa Mahoney dengan sengaja terlibat dalam rancangan untuk berkomplot, berkonspirasi dan menipu dalam skim penipuan membabitkan sejumlah wang yang besar daripada 1MDB bersama-sama dengan Jho Low, Najib dan Tarek Obaid.

Iklan

Plaintif juga mendakwa White & Case menyediakan perjanjian pembelian saham dan pinjaman yang palsu bagi pihak PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd / PetroSaudi International Ltd atas arahan Mahoney untuk menipu 1MDB.

Oleh itu, 1MDB antara lain menuntut satu deklarasi bahawa Mahoney dan White & Case bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif bagi dana berjumlah AS$1.83 bilion dan membayar jumlah itu kepadanya atau jumlah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah atas alasan bantuan tidak jujur.

Iklan

Ia juga memohon perisytiharan bahawa kedua-dua defendan bertanggungjawab bagi wang berjumlah AS$33,000,000 dan membayar kepadanya jumlah itu atau jumlah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah, atas alasan penerimaan yang diketahui.

1MDB turut menuntut ganti rugi AS$1.83 bilion, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!