Pemandu lori ditahan disyaki seleweng diesel bersubsidi

Iklan
KPDN menyita keseluruhan barangan bernilai RM41,000 dalam serbuan di sebuah stesen minyak dekat Paka, Dungun pada Selasa.

DUNGUN - Seorang pemandu lori ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi operasi Ops Tiris 3.0.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika serbuan di sebuah stesen minyak dekat Paka pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan itu dilakukan empat anggota penguat kuasa sekitar jam 10 malam selepas menerima maklumat hasil risikan dijalankan sebelum ini.

"Minyak terbabit akan diisi di dalam tong drum plastik sebelum dijual semula kepada pembeli pasaran gelap di sekitar kawasan perindustrian berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa barangan yang dirampas dalam serbuah di sebuah stesen minyak dekat Paka, Dungun pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi terbabit menemukan 14 tong drum plastik mengandungi kira-kira 400 liter minyak diesel, sebuah lori dan beberapa dokumen berkaitan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM41,000 dan kesemua barangan yang ditemui di lokasi serbuan telah disita untuk siasatan lanjut.

Iklan

"Kita juga telah membuka siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu termasuk rantaian pengedaran minyak petrol tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket atau aktiviti haram.

"Mana-mana individu didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya," ujarnya.

Jelas beliau, sebanyak 680 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Terengganu menerusi Ops Tiris 3.0 dijalankan bermula 1 Januari sehingga 21 Mei lalu.

"Dalam tempoh itu, sebanyak lapan kes telah direkodkan melibatkan rampasan dan sitaan ke atas minyak diesel, aset serta peralatan lain berjumlah RM118,070.76," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!