Malaysia jinakkan Jepun dalam acara double

Iklan
Noraizat (kiri) dan Aidil Aiman ketika menentang Jepun dalam kategori beregu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Bernama.

MALAYSIA menepati ramalan mudah mencatat kemenangan sulung selepas menjinakkan Jepun 2-0 pada aksi Kumpulan A acara double divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad.

Turun pada perlawanan pertama kumpulan, Malaysia diperkuat gandingan Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Baihakki A'ripin mempamerkan persembahan terpuji untuk merekodkan kemenangan bergaya 15-9, 15-3 ke atas Ryota Haruhara, Yuki Sato dan Ryo Nakajima.

Iklan
Iklan

Ia merupakan kekalahan pertama Jepun kendalian Takeshi Terashima selepas menang 15-13, 15-10 ke atas Brunei pada perlawanan pembukaan kumpulan pada Sabtu.

Malaysia yang dibimbing Ahmad Jais Baharun selepas ini akan membuat perhitungan dengan Brunei pada aksi terakhir esok dalam misi melangkah ke peringkat suku akhir selaku juara kumpulan.

Iklan

"Perlawanan ini bukan (nak kata) terlalu mudah tetapi dengan latihan yang cukup, insya-Allah ada hasil. Perlawanan hari ini secara peribadi saya macam baru nak mencari rentak dan sesuaikan diri dengan suasana dewan.

"Untuk perlawanan esok lawan Brunei kami akan buat yang lebih baik dari ini, saya berterima kasih kepada semua penyokong yang hadir memberikan sokongan, saya tengok yang datang ke Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sangat ramai," kata Aidil Aiman ketika ditemui media sejurus tamat perlawanan.

Iklan

Mengulas mengenai sistem pengiraan baharu 15 mata, Aildil Aiman berkata:"Bagi saya kita kena bertahan betul-betul dan kuat sebab permainan tidak lama, kejap saja."

Terdahulu, Myanmar menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat di suku akhir acara double divisyen premier apabila merakam kemenangan kedua selepas menundukkan Indonesia 2-1 pada aksi Kumpulan C.

Myanmar yang dibarisi Zin Min Oo, Sheik Wunna Zaw dan Yan Paing O mengejutkan skuad bimbingan Harsono Abdulatif Taha dianggotai Hardiansyah Muliang, Rusdi dan Diky Apriyadi apabila mengeret aksi ke set penentuan sebelum menoktahkan kejayaan dengan keputusan 15-9, 16-17, 15-12.

Turut meraih tiket ke pusingan lapan pasukan terbaik adalah juara bertahan, Thailand selepas meraih kemenangan kedua dengan mengatasi Korea Selatan 2-0 pada aksi Kumpulan D.

Seksan Tubtong, Kittiphum Sareebut dan Tanaphon Sapyen memastikan Thailand mara dengan bergaya apabila tidak berdepan masalah mencatat kemenangan 15-10, 15-6 ke atas Kim Youngcheol, Shin Heeseop dan Park Cheolhee.

Dalam pada itu, China tersingkir daripada saingan apabila mengalami kekalahan kedua selepas dikecewakan India yang meraih kemenangan sulung dengan keputusan 7-15, 15-8, 15-13 dalam saingan Kumpulan B. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!