Tak masuk akal mahu 'perangi' gula tapi beri subsidi - Pusat Galen

Iklan
Gambar kecil: Azrul Mohd Khalib

SHAH ALAM - Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mencadangkan kerajaan mengeluarkan gula daripada diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengurangkan penyakit diabetes berbanding memperkenalkan sistem penggredan kandungan gula.

Ketua Pegawai Eksekutif badan pemikir berkenaan, Azrul Mohd Khalib berkata, subsidi gula hanya akan menyebabkan rakyat mengambil lebih banyak kandungan gula yang jelas bertentangan konsep 'perang terhadap gula'.

Iklan
Iklan

"Harga gula kekal rendah dan di bawah harga siling kerana pemberian insentif kerajaan kepada industri gula menyebabkan harganya di negara ini yang bukan negara pengeluar, antara terendah di dunia.

"Tidak masuk akal untuk memerangi penggunaan gula dan dalam masa sama memberi subsidi.

Iklan

"Rawatan untuk penyakit diabetes dan penyakit kardio renal metabolik lain seperti buah pinggang menelan kos lebih RM3 bilion setahun, jadi tidak mampu capai separuh daripada angka tersebut," katanya menerusi kenyatan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, yang mengesahkan Malaysia sedang berdepan krisis penyakit tidak berjangkit (NCD).

Iklan

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengenakan surcaj 10 peratus ke atas semua makanan dan minuman yang dijual di presmis makanan berlesen yang beroperasi antara 12 tengah malam hingga 6 pagi, sekiranya tidak mahu melaksanakan larangan kedai makan 24 jam.

Menurutnya, dana yang dikumpul boleh disalur dan diperuntukkan untuk rawatan NCD termasuk diabetes, penyakit kardiovaskular, buah pinggang, darah tinggi dan kanser.

"Dianggarkan jumlah kutipan daripada surcaj tersebut boleh melebihi RM5 bilion dalam cukai yang dikutip daripada rokok dan alkohol.

"Ia juga akan membantu menghalang amalan makan lewat malam sambil menambah dana yang diperlukan untuk merawat NCD," ujarnya.

Azrul turut menggesa kerajaan meningkatkan duti eksais sedia ada ke atas rokok dan produk tembakau serta mengehadkan kepekatan nikotin dalam produk vape kepada dua peratus, selaras negara lain yang mengawal selia produk berkenaan.

Beliau berpendapat, menaikkan kadar cukai eksais kepada 77 sen untuk sebatang rokok atau 61 peratus cukai eksais daripada harga runcit akan menjana hasil cukai tambahan sebanyak RM771.8 juta.

"Amat menyedihkan apabila Malaysia membelanjakan anggaran RM16 bilion setahun untuk merawat penyakit berkaitan merokok seperti kardiovaskular dan kanser paru-paru.

"Bagaimana kita boleh terus membayar untuk rawatan penyakit kronik berkenaan selama bertahun-tahun yang menelan belanja berbilion ringgit.

"Dengan 70 peratus penduduk bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam, perbelanjaan itu nanti kemungkinan terpaksa ditanggung oleh rakyat," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!