[VIDEO] Malaysia antara negara terawal edar kad haji Nusuk

Iklan

MAKKAH - Tabung Haji (TH) telah mula mengedarkan kad haji Nusuk bagi musim haji 1445H/2024M secara berperingkat kepada jemaah haji negara sejak Sabtu, menjadikan Malaysia antara negara terawal yang berbuat demikian.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah Malaysia harus membawa dan menggunakan kad haji Nusuk ini kerana akan berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri yang membolehkan jemaah masuk ke tempat beribadat di Tanah Suci.

Iklan
Iklan
Syed Saleh

Menurutnya, kad itu wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta untuk memudahkan pergerakan mereka antara Arafah, Muzdalifah serta Mina.

"TH yakin inisiatif baharu ini akan memberi nilai tambah kepada jemaah negara dari segi kelancaran pergerakan termasuk keselamatan. Jemaah haji Malaysia diingatkan untuk sentiasa membawa kad nusuk ini bersama-sama mereka dan menjaga kad ini dengan baik.

Iklan

"Kad ini merupakan sebahagian dari peraturan yang telah ditetapkan oleh Arab Saudi bagi jemaah haji tahun ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kad Haji Nusuk kepada jemaah haji KT01 dan KT02.

Beliau berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi dalam menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Iklan

"Inisiatif ini juga adalah untuk memastikan hanya jemaah haji yang mempunyai visa haji yang sah sahaja boleh menunaikan ibadat haji sepertimana peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Syed Saleh (dua dari kanan) menyampaikan kad haji Nusuk kepada salah seorang jemaah haji.

Ketika ditanya sekiranya kad tersebut hilang, apakah yang perlu dilakukan jemaah haji, Syed Saleh berkata, jika berlaku kehilangan kad, jemaah perlu terus melaporkan insiden tersebut kepada petugas TH.

"TH akan memaklumkan kepada pihak Masyariq untuk menyemak dengan pihak berkuasa dan jika masih tidak ditemui, kad tersebut akan diganti,” katanya.

Beliau berkata, kad ini akan mula berkuatkuasa selepas 29 Zulkaedah (6 Jun 2024) iaitu tarikh terakhir bagi visa umrah.

Kad inovatif yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam format digital dan fizikal ini adalah platform komprehensif yang memudahkan interaksi jemaah haji dengan pihak berkuasa tempatan.

Maklumat komprehensif berkenaan data peribadi membolehkan jemaah haji dikenal pasti secara mudah, selain memberi manfaat daripada pelbagai perkhidmatan untuk memperkayakan pengalaman haji mereka.

Ia juga mempunyai maklumat penempatan jemaah serta tempat-tempat beribadat yang lazim dilawati jemaah.

Sementara itu, dalam majlis yang berasingan, Syed Saleh berkesempatan melawat Bilik Operasi Media di Ibu Pejabat Lembaga TH di di Hotel Abraj Al Janadiriyah di sini.

Menurutnya, petugas media yang dibawa untuk membuat liputan haji musim ini memainkan peranan penting dalam memberikan informasi yang terkini supaya dapat menangkis maklumat tidak tepat dan mengelirukan.

Syed Saleh berkata, perkara itu perlu bagi memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di Tanah Suci kepada rakyat Malaysia sekali gus untuk mengelak sebarang kerisauan terhadap khususnya kepada ahli keluarga jemaah haji yang berada di tanah air.

"Alhamdulillah saya telah meninjau Bilik Operasi Media dan melihat kerja-kerja harian pasukan media yang dibawa oleh Tabung Haji. Sehingga kini mereka memberi pelbagai informasi yang tepat dan informasi ini juga penting kepada bakal-bakal haji untuk memahami proses dan suasana yang akan dilalui nanti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!