Koperasi jangan ali baba perniagaan diluluskan kerajaan - Saarani

Iklan
Saarani (dua dari kanan) bersalaman dengan ahli-ahli Komas yang hadir sempena Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Masjid Perak Berhad (Komas) Kali ke-27 di Dewan Tun Abdul Razak, Persekutuan Seruan Islam Perak di sini pada Ahad.

IPOH - Koperasi di Perak diingatkan untuk tidak mengalibabakan sebarang projek atau perniagaan yang diluluskan kerajaan kerana tindakan tersebut akan merugikan ahli mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan kerajaan negeri amat berbesar hati untuk memberikan sebarang kelulusan melibatkan permohonan projek oleh koperasi kerana melihat kepada manfaat yang akan diterima oleh ahli-ahli koperasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, oleh itu, koperasi harus memanfaatkan sepenuhnya projek mahupun perniagaan yang diperoleh daripada kerajaan negeri supaya keuntungan dapat dikongsi kepada lebih ramai orang berbanding syarikat persendirian.

"Jadi kalau ada ruang, sebagai contoh kuari, jika koperasi ada kebolehan atau kepakaran (dalam bidang pengkuarian), mereka boleh mohon. Di antara permohonan individu dan koperasi, kita lebih pertimbang bagi kepada koperasi sebab keuntungan itu balik kepada ahli, Itu maksud saya.

Iklan

"Tapi janganlah ali baba pula. Kalau ali baba, koperasi dapat kuah (kerugian) jugalah, tapi akhirnya orang lain juga akan untung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Masjid Perak Berhad (Komas) Kali ke-27 di Dewan Tun Abdul Razak, Persekutuan Seruan Islam Perak di sini pada Ahad.

Sementara itu, Saarani menggesa Komas dan semua koperasi di negeri ini mengambil peluang beberapa projek pembangunan yang telah dirancang di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk menambah pendapatan sedia ada.

Iklan

Menurutnya, projek-projek seperti Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) dan sebagainya merupakan peluang untuk koperasi menjana keuntungan melalui pelbagai sektor perniagaan.

Beliau berkata, antara sektor yang perlu diberikan tumpuan termasuklah perniagaan, hartanah, perindustrian, pembinaan lebuhraya dan sebagainya.

Jelasnya, pelan Perak Sejahtera 2030 yang dirancangkan sedang berada di landasan betul serta mendapat sokongan penuh daripada kerajaan persekutuan.

"Jadi peluang-peluang pekerjaan itu banyak dan luas. Saya sebutkan tadi, kalau kata kita nak buat lebuhraya, perlukan tanah merah, pasir dan bantu. Disebabkan itu ada banyak pihak yang memohon untuk menjalankan perniagaan menjual tanah merah.

"Jadi kita tak boleh menolak permohonan orang lain. Cuma jika ada koperasi mohon kita akan pertimbangkan kerana koperasi memberi keuntungan kepada orang ramai," katanya.

Katanya, koperasi perlu meluaskan lagi cabang perniagaan mereka dengan tidak tertumpu kepada ladang pertanian dan perniagaan-perniagaan kecil tetapi perlu berani menceburi bidang perniagaan lain yang lebih menguntungkan.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Saarani turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Komas bagi tujuan pengoperasian dan menaiktaraf mesin di kilang pelupusan al-Quran milik koperasi berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!