'Gerakan Jemaah Islamiyah di negara ini masih terkawal'

Iklan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) semasa sidang media berkenaan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Sabtu. Foto Bernama

JOHOR BHARU - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan gerakan Jemaah Islamiyah (JI) di negara ini masih terkawal.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya mempunyai pangkalan data mencukupi dalam membantu menguruskan kes seperti insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Iklan
Iklan

"Pangkalan data kita memadai untuk menguruskan insiden sebegini dan kita mempunyai latar belakang mereka yang terlibat dalam apa pun kegiatan atau pernah ditahan di bawah (Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 2012 (SOSMA)...pendekatan polis adalah terus berinteraksi dengan mereka bagi memastikan proses rehabilitasi berjalan serta tidak menjadi ancaman kepada masyarakat.

"Alhamdulillah (gerakan) JI ini masih terkawal dan saya percaya pasukan polis mempunyai pengalaman untuk menguruskan (kejadian yang sama di Balai Polis Ulu Tiram) berdasarkan pangkalan data, pola dan corak sesuatu itu berlaku," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam masa sama, Saifuddin Nasution menggesa masyarakat sapaya mengelakkan diri daripada menyebarkan sebarang spekulasi manakala media disarankan melaporkan kejadian terbabit berdasarkan fakta yang diberikan polis.

Iklan

"Saya dapat mengesan sebahagian tulisan (pengamal media) dan (saya) mohon (pihak media) untuk melakukan (menulis) ikut fakta kes tanpa perlu kaitkan insiden ini dengan agama.

"Beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan (polis) memberi jaminan bahawa ketenteraman serta keselamatan awam adalah keutamaan kami," katanya.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki yang bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, cedera ditembak.

Suspek lelaki berumur 21 tahun yang ditembak mati itu dipercayai ahli JI dan siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!