Balai Polis diserang: Pahang salur RM8,000 kepada keluarga mangsa

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM8,000 kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada pagi Jumaat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM3,000 merupakan sumbangan peribadi beliau.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan tersebut sebagai bantuan awal diberikan bagi meringankan beban kepada keluarga mangsa yang kehilangan arwah akibat insiden tersebut.

"Insya-ALLAH seperti biasa kerajaan negeri akan membantu yang mana perlu dan ini menjadi tanggungjawab kita untuk kita bantu kerana ia satu kejadian yang menyayat hati.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Pahang di Permatang Permai di sini pada Jumaat.

Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.54 pagi itu, dua pegawai polis maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dengan bersenjatakan parang serta merampas dua laras senapang.

Iklan

Kedua-dua mangsa, Konstabel Muhamad Syafiq ketika bertugas dilaporkan ditembak di bahu dan perut manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.

Wan Rosdy bersama kontraktor Bumiputera selepas majlis perasmian Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Pahang di Permatang Permai di Kuantan pada Jumaat.

Menyentuh mengenai PKBM Pahang, Wan Rosdy berkata, jumlah kontraktor di Pahang yang berdaftar di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang dan masih aktif dari gred G1 hingga G7 adalah seramai 8,433.

Jelasnya, malah, di Kuantan sahaja terdapat 2,486 kontraktor berdaftar.

"Seperti yang sedia maklum, ketika ini cabaran yang dihadapi oleh kontraktor cukup hebat, terutamanya ketika berhadapan dengan isu kenaikan harga bahan binaan yang cukup tinggi sehingga menyukarkan kontraktor untuk menyiapkan kerja atau kontrak yang ditawarkan.

"Namun begitu, saya berharap menerusi PKBM, persatuan ini dapat membantu kontraktor Bumiputera terutamanya dalam membantu ahlinya meningkatkan kualiti kerja, mematuhi standard yang ditetapkan serta menguasai teknologi terkini," ujarnya.

Wan Rosdy turut menekankan kepentingan integriti dan profesionalisme dalam setiap aspek kerja yang dilaksanakan terutamanya dalam menyelesaikan siap projek ditawarkan.

Katanya, ini penting kerana beliau tidak mahu kontraktor menyiapkan sesuatu projek itu sambil lewa sehingga mengabaikan aspek penting terutamanya aspek keselamatan sehingga membahayakan pengguna.

"Banyak kes dan juga aduan yang kita dengar sebelum ini seperti projek tidak siap, kualiti binaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, rumah menjadi retak dan pendawaian elektrik tidak sempurna serta berlaku mendapan sehinggakan rumah yang didiami pembeli tidak selamat untuk diduduki.

"Sebab itulah Kerajaan Negeri menubuhkan LPHP (Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang) yang antara lainnya bertujuan untuk memastikan setiap projek yang diberikan kepada kontraktor dapat disiapkan dalam waktu ditetapkan selain kualiti binaan itu terjamin dan selamat," jelas beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!