Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan didakwa seleweng lebih RM83,794

Iklan
Norrul Huda (tengah) mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

MELAKA - Seorang Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan di negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan termasuk mengemukakan tuntutan palsu dan menyalah guna harta berjumlah lebih RM83,794.

Norrul Huda Marsidin,40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Melaka dan Pertubuhan Belia Bersatu Kampung Tenang masing-masing berjumlah RM18,154.10 dan RM59,400 antara Disember 2021 dan November 2022.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Norrul Huda turut berdepan tiga lagi pertuduhan mengemukakan tiga invois yang mengandungi penyataan palsu milik FIS Gemilang Enterprise bertarikh 22 November 2021 berjumlah RM6,640 bagi kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman yang sebenarnya tidak dibekalkan.

Manakala bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sementara itu, Tmbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM40,000 beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka dan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu jaminan yang rendah antara RM15,000 dan RM20,000 kerana anak guamnya yang sekarang berjawatan sebagai penolong pegawai dengan pendapatan RM5,00 perlu menyara ibunya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Selain itu, tertuduh juga menghidap penyakit anxiety disorder dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!