[VIDEO] Penoreh getah menggeletar seluruh badan dimaklum jadi jutawan

Iklan

KOTA BELUD - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu peribahasa yang dapat digambarkan bagi seorang penoreh getah yang terpilih menjadi jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi tahun ini.

Johni Satur, 57, tidak menyangka langkah menyimpan wang yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dua tahun lalu membawa tuah kepadanya yang menjadi orang ke-99 menerima RM1 juta dan pertama bagi tahun ini di Sabah.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya saya menyimpan wang yang dikeluarkan dari KWSP pada tahun 2022 di bank atas nasihat anak kedua. Itu pun sebab mereka bimbang jika saya ditipu oleh scammer.

"Kemudian pada minggu lalu, saya telah dihubungi mengatakan saya telah memenangi wang RM1 juta. Memang agak terkejut sehingga menggeletar seluruh badan selain takut kerana ada juga terfikir ia mungkin scammer.

Iklan

"Tetapi selepas diperiksa di kaunter bank, memang betul saya mendapat cabutan SSP tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Lasau Minunsud di sini pada petang Khamis.

Jelasnya lagi, sepatutnya perkara itu sudah dimaklumkan sejak April lalu tetapi disebabkan kawasan kampungnya sering mengalami gangguan talian telefon menyebabkan maklumat itu baru diterima pada bulan ini.

Iklan

Johni (tengah) bersama isteri dan anak bongsunya menerima replika cek RM1 juta daripada kakitangan BSN selepas menjadi orang ke-99 menang Cabutan Jutawan BSN SSP di Kampung Lasau Minunsud, Kota Belud.

"Bulan April lagi telah dimaklumkan cuma saya tidak dapat dihubungi sebab tiada liputan telefon seperti yang berlaku hari ini. Kalau tiada bekalan elektrik, talian telefon automatik terputus," katanya.

Ditanya mengenai perancangannya terhadap wang yang diterima, Johni berkata, dia berhasrat untuk membina sebuah rumah lain memandangkan keadaan rumahnya yang daif ketika ini.

"Rumah saya ada kerosakan termasuk bocor di beberapa bahagian, kalau mahu tambah pun kawasan halaman rumah memang sempit jadi saya akan membina rumah di tapak lain.

"Selain itu, wang tersebut akan digunakan untuk pendidikan anak-anak memandangkan ada dua lagi anak saya masih bersekolah iaitu berada di Tingkatan Enam dan juga Tahun Satu.

"Umur saya pun sudah lanjut, jadi dengan pendapatan sebagai penoreh getah yang hanya RM500 sebulan mungkin tidak akan mencukupi membiayai pelajaran anak-anak," katanya.

Sehubungan itu, Johni berkata, dia berterima kasih kepada pihak bank berkenaan yang memberi peluang kepada pelanggan merasai pengalaman sebagai jutawan walaupun dia hanya orang kampung biasa.

Sementara itu, anak keduanya, Romexh, 27, berkata, dia bimbang bapanya menjadi mangsa scammer, lalu meminta wang itu disimpan di bank supaya lebih selamat.

"Saya tidak tahu pun mengenai peraduan ini sehingga dimaklumkan di kaunter bank dan simpanan dibuat kerana bapa saya memang menyimpan wangnya selama ini di institusi perbankan tersebut," katanya yang juga graduan dalam bidang pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!