Dua pengawal keselamatan didakwa baling bom petrol di pusat hiburan

Iklan
Dua pengawal keselamatan ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan melakukan khianat dengan membaling botol yang dinyalakan dengan api ke sebuah pusat hiburan, minggu lalu.

M Preemraj dan Nor Rahman Sadik masing-masing berusia 25 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki berkenaan didakwa bersubahat bersama seorang lagi suspek yang masih bebas, melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan terbabit sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM3,000.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Dang Wangi pada jam 2.17 pagi, 9 Mei lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Rakaman CCTV memaparkan beberapa individu membaling objek dipercayai bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Khamis minggu lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 termasuk syarat tambahan, melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Iklan

Bagaimanapun, peguam MV Yoges yang mewakili kedua-dua tertuduh itu memohon ikat jamin ditetapkan pada kadar yang rendah, kerana mereka mempunyai masalah kesihatan dan perlu menanggung keluarga.

"Preemraj merupakan pengawal keselamatan sambilan dan dia pernah terlibat dalam kemalangan tahun lalu sehingga menyebabkan tempurung kepalanya retak.

"Nor Rahman mempunyai isteri dan dua anak masing-masing berusia 17 hari dan dua tahun,” katanya yang juga tidak membantah syarat tambahan berkenaan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Hamidah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 21 Jun depan bagi sebutan semula kes.

Pada 10 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan suasana gempar di hadapan sebuah pusat hiburan di lokasi berkenaan selepas sekumpulan individu bertindak membaling bom petrol.

Video kejadian pertama yang tular berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan empat individu menaiki motosikal di hadapan pusat hiburan terbabit.

Individu terlibat kemudiannya dilihat membaling objek dipercayai bom petrol ke arah premis terbabit sebelum beredar.

Video kedua tular memaparkan beberapa individu bertindak membantu memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!