Salah guna bahan binaan antara kesalahan ketara dilakukan kontraktor

Iklan
Alexander Nanta Linggi (tengah) pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) CIDB di tapak pembinaan sekitar ibu kota pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 174 lawatan ke tapak pembinaan di ibu negara telah dilaksanakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kuala Lumpur sepanjang Januari hingga Mei tahun ini dengan 91 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara kesalahan paling ketara dilakukan kontraktor adalah penyalahgunaan bahan binaan seperti besi perancah selain pekerja tidak mempunyai sijil kemahiran diiktiraf CIDB.

Iklan
Iklan

"Hari ini saya turun ke tapak pembinaan bersama CIDB dan beberapa agensi lain secara mengejut ke tapak pembinaan yang kita kenal pasti ada melakukan kesalahan.

"Saya harap CIDB akan kerap melakukan aktiviti sebegini supaya kita boleh hantar mesej kepada pemain industri supaya mereka patuh kepada peraturan dan undang-undang. Saya juga akan turun padang dengan lebih kerap untuk beri motivasi kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan bersepadu CIDB di tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata, penggunaan besi perancah jenis A Frame (Pre-fabricated steel frame scaffolding) dikuatkuasakan CIDB sejak dua tahun lepas sebagai laluan yang selamat bagi kegunaan pekerja dan terlindung daripada jatuhnya bahan atau alat di tapak pembinaan.

"Kita melihat ada kualiti perancah ini sudah merosot dan berkarat kerana digunakan berulang kali yang boleh menyebabkan besi itu patah dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa apabila ia tidak mampu menampung beban konkrit.

Iklan

"Mereka (kontraktor) perlu menggunakan jenis Tubular yang lebih kuat dan mendapat pengiktirafan standard Malaysia,” katanya.

Terdahulu pada operasi tersebut, sebanyak 13 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk ditutup susulan dikenal pasti menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

Operasi tersebut turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!