[VIDEO] Pemandu mabuk mengaku tidak bersalah langgar atlet kayak kebangsaan

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang pembantu penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan ke atas atlet kayak negara, Sabtu lalu.

Tertuduh, R Dinesh, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta Toyota Vios dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 178 miligram/100 milimeter, 50 miligram melebihi had, daripada had ditetapkan iaitu 128 miligram/100 milimeter sehingga menyebabkan kecederaan kepada Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22..

Tertuduh R Dhinesh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah, Sabtu lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 3.5 Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL), di sini pada jam 4.19 petang, 11 Mei lalu.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, di mana jika sabit kesalahan boleh hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 selain hilang kelayakan memandu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan
Tertuduh (tengah) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Sebelum itu, pendakwaan meminta jaminan sebanyak RM20,000 ke atas tertuduh selain meminta lesen memandu digantung sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali.

Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana gajinya sebagai penolong penyelia kilang tidak sampai RM2,000 sebulan.

"Saya tidak ada RM20,000 dan tidak mampu bayar jaminan tinggi kerana kerja jaga stor kilang sahaja. Saya juga perlu tanggung ayah selepas kematian ibu," katanya.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, lesen memandunya digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali.

Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, pelajar semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang itu dirempuh dan diseret sejauh 600 meter pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, Johor Bahru.

Kemalangan berkenaan menyebabkan anak kelima daripada lapan beradik itu mengalami kecederaan retak bahu kanan, tulang pinggul dan luka di bahagian kaki

Mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.

Siti Nurul Masyitah merupakan atlet kayak dan bot naga Malaysia yang membantu negara memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!