KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Indeks keseluruhan jenayah di Pahang merekodkan 802 kes menunjukkan peningkatan sebanyak 159 kes dalam empat bulan tahun ini berbanding 643 kes tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah tersebut, jenayah kekerasan mencatatkan peningkatan sebanyak 12 kes, iaitu daripada 121 kepada 133 kes pada tahun ini.
"Begitu juga dengan jenayah harta benda iaitu 522 kes pada tahun 2023 kepada 669 kes manakala peratus penyelesaian kes jenayah untuk seluruh Pahang adalah berjumlah 54.74 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Mei tahun 2024 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.
Yahaya turut memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang telah berjaya melaksanakan 4,843 tangkapan melibatkan sebanyak 4,392 kes atas pelbagai kesalahan narkotik.
"Dari segi pertuduhan, sebanyak 247 pertuduhan telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Dalam tempoh ini juga, tujuh sindiket pengedaran dadah telah berjaya ditumpaskan. Tahniah," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu polis juga memberi fokus kepada kes-kes komersial kerana ia merupakan salah satu elemen jenayah yang amat dibimbangi kerana impaknya melibatkan jumlah kerugian berskala besar.
Katanya, sebanyak 630 kertas siasatan komersial telah dibuka yang melibatkan kerugian sehingga RM28 juta sepanjang Januari hingga April tahun ini.
"Jika dilihat perbandingan dengan tahun 2023, jumlah kertas siasatan yang dibuka adalah sebanyak 743 dan menunjukkan trend menurun, iaitu turun sebanyak 113 kes.
"Dari segi tangkapan menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 534 tangkapan telah dilaksanakan berbanding 442 tangkapan dalam tempoh sama bagi tahun 2023," katanya.
Sementara itu, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya mengekalkan nilai integriti sebagai keutamaan yang perlu dijadikan budaya dalam pasukan.
Yahaya berkata, integriti yang utuh di samping tata kelola baik akan menjadi benteng kepada mereka daripada berlakunya salah laku.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai isu perlanggaran tatatertib melibatkan warga pasukan dan telah mencalarkan nama baik PDRM.
"Kita perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan integriti dalam setiap aspek penugasan.
"Malah, kita perlu mengambil iktibar dari kes-kes pegawai polis yang tular di media sosial dan ia perlu diambil tindakan sewajarnya dari pelbagai aspek. Tidak perlu bersikap menuding jari mencari salah sesiapa," katanya.
Yahaya berkata, dalam situasi ini, warga PDRM perlu kembali kepada Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A110 iaitu Tatatertib yang merupakan panduan dalam pelaksanaan kawalan dan tatatertib warga PDRM.
"Saya yakin, jika Peraturan 3C dan SKDD (Sistem Kawalan Disiplin dan Dah) diperkasakan dengan utuh, masalah disiplin dan salah laku akan dapat di atasi lebih awal.
"Saya menyeru kepada semua penyelia dan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Pahang untuk lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan serta tindakan sewajarnya diambil ke atas penyelia yang gagal melaksanakan fungsi mereka," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!