BAYAN LEPAS - Sehelai resit yang dikeluarkan sebuah premis menjual piza yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja-raja) tular di media sosial sejak Rabu.
Resit terbabit didapati dikeluarkan oleh sebuah premis di cawangan Sungai Ara dekat sini.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz telah ke cawangan premis berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara terbabit.
Azrul dalam hantaran di Facebooknya berkata, beliau telah berjumpa dengan penyelia cawangan berkenaan serta pengurus syarikat kawasan utara untuk berbincang perkara berkenaan.
Menurutnya, beliau juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Kumbar bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung isu terbabit.
"Ramai yang salah faham seperti saya juga pada awalnya apabila menyangkakan resit berkenaan dikeluarkan oleh juruwang premis berkenaan.
"Sebenarnya resit yang ditularkan itu adalah resit pesanan dalam talian dan ada ruangan ‘remark’ yang disalahgunakan oleh individu yang membuat provokasi tersebut," katanya.
Jelasnya, selain dirinya, pihak pengurusan syarikat piza berkenaan turut membuat laporan polis berhubung perkara terbabit.
"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat yang sensitif dengan isu ini serta membuat laporan polis. Pihak pengurusan (syarikat) juga telah membuat satu laporan polis untuk membolehkan polis menjalankan siasatan.
"Saya berharap agar pihak yang cuba melakukan provokasi 3R ini segera ditangkap," ujarnya.
Azrul turut berharap masyarakat juga kekal tenang dan tidak termakan dengan provokasi seperti itu.
"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk selesaikannya. Insya-ALLAH," katanya.
Dalam pada itu, Azrul turut melampirkan resit yang dipesan oleh pembeli secara dalam talian lain sebagai rujukan dan perbandingan dengan resit yang tular berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu terbabit kelak.
Sebelum ini, tular di media sosial resit yang dikeluarkan oleh sebuah premis menjual piza dengan kenyataan menyentuh isu 3R di ruangan 'remark' oleh seorang individu yang memesan makanan berkenaan.
Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi warga net yang mengecam premis berkenaan berikutan menyangka ia adalah perbuatan premis menjual piza terbabit.
Ruangan 'remark' disediakan untuk pemesan makanan menulis pesanan khas kepada premis berhubung makanan yang dibeli.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!